Individu diisytihar muflis melonjak - Utusan Malaysia

Individu diisytihar muflis melonjak

Pandemik Covid-19 mempengaruhi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah individu diisytihar bankrap meningkat lebih lima kali ganda dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding Oktober hingga Disember tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang punca pendapatan.

Pegawai Insolvensi Utama Jabatan Insolvensi, Zarina Alias ketika mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, peningkatan mendadak kepada 1,864 kes pada tahun ini berlaku selepas moratorium bagi bayaran ansuran bulanan yang ditawarkan institusi kewangan berakhir pada September 2020.

Menurut beliau, jumlah itu jauh berbeza dengan rekod 324 kes bankrap bagi Oktober hingga Disember 2020 yang didaftarkan jabatan tersebut.

Kata Zarina, pada Mac 2020 hingga Mac 2021 sebanyak 8,208 kes muflis didaftarkan dan tidak mustahil angka itu boleh mencecah kepada 10,000 kes pada bulan April dan Mei tahun ini.

“Kes-kes muflis terus meningkat walaupun Parlimen pada Ogos tahun lalu sudah meluluskan pengubahsuaian terhadap had minimum hutang sebelum seseorang itu diisytihar bankrap iaitu daripada RM50,000 kepada RM100,000,” kata beliau ketika ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau memberitahu, peningkatan kes yang tinggi itu berlaku kerana semakin ramai individu hilang kerja dan seterusnya mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman.

“Kami banyak menerima keluhan individu bankrap seperti mereka tidak mampu bayar ansuran bulanan, ada yang cuba mengurangkan hutang dan ada yang tidak boleh bayar langsung.

“Kami beritahu pemiutang bahawa pelanggan mereka sudah tidak boleh bayar tetapi pemiutang tidak berpuas hati. Dalam keadaan itu bagaimana untuk diselesaikan sedangkan mereka yang bankrap sudah hilang kerja. Ramai yang menganggur ketika ini, jadi nak bayar balik memang sukar,” kata beliau.

Menurut beliau, majoriti kes-kes diisytihar bankrap berpunca daripada pinjaman peribadi diikuti dengan pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.

“Ada yang boleh membayar ansuran RM200 sebulan, sampai satu tahap individu itu tidak boleh bayar lagi. Ada kes individu itu minta bayar RM10 sahaja sebulan, jadi pihak jabatan pula perlu menjawab kepada pemiutang kenapa mereka tak boleh bayar.

“Mereka yang bankrap sudah hilang kerja, sebab itu ada yang guna wang i -Sinar dan i-Lestari untuk bayar hutang. Kalau hutang tinggi, bank boleh bagi kurang okaylah, tetapi kalau tak bagi itulah yang kena isytihar bankrap,” katanya.

Bagaimanapun, Zarina memberitahu, kebanyakan individu yang muflis didapati berhutang dengan beberapa pemiutang seperti hutang pinjaman perumahan, kad kredit dan pinjaman peribadi sehingga ada hutang seorang individu itu secara keseluruhan melebihi RM1 juta.

“Peringkat usia paling ramai diisytiharkan muflis ketika ini ialah antara 35 hingga 44 tahun meliputi 41.25 peratus dan diikuti mereka yang berusia 45 hingga 54 tahun,” kata beliau yang enggan memperincikan jumlah tersebut.

Beliau berkata, Jabatan Insolvensi bersama 21 cawangan di seluruh negara terus berusaha mengurangkan jumlah kes bankrap dan cuba membantu individu terbabit keluar daripada status berkenaan.

“Dalam tempoh pandemik Covid-19, ramai yang sukar menyelesaikan hutang terutama yang tinggal di pedalaman.

“Apa yang Jabatan Insolvensi buat ialah mengambil inisiatif seperti panggilan telefon, mengadakan janji temu secara maya, pertanyaan menerusi e-mel dan menawarkan bayaran ansuran dalam talian.

“Kalau mematuhi syarat-syarat, mengisytiharkan aset dan bayaran dibuat secara teratur, Jabatan Insolvensi mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan seseorang itu daripada status bankrap. Namun ia turut tertakluk kepada persetujuan pemiutang.

“Kami bukannya membankrapkan orang, sebaliknya membantu individu yang dibankrapkan ,” katanya.- MINGGUAN

 

Kes bankrap

Oktober – Disember 2020
324 kes
Januari – Mac 2021
1,864 kes

Punca bankrap setakat Mac 2021

Pinjaman peribadi 1,066 kes
Pinjaman perniagaan 294 kes
Sewa beli kenderaan 164 kes
Hutang kad kredit 108 kes
Pinjaman perumahan 106 kes

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×