Hampir 50 peratus rakyat masih bujang - Utusan Malaysia

Hampir 50 peratus rakyat masih bujang

Gambar hiasan -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 15 juta rakyat Malaysia masih belum pernah berkahwin dan bilangan itu dijangka meningkat sekali gus memberi kesan negatif terhadap perubahan transisi demografi negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, senario tersebut dibuat berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci 2010).

Katanya, berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada 1994, mendapati sebab utama lelaki masih memilih untuk hidup bujang adalah kerana masalah kewangan (56 peratus), tiada calon sesuai (18.4 peratus) dan ingin tumpukan kepada kemajuan kerjaya (9.4 peratus).

Jelasnya, manakala tiga sebab utama bagi wanita pula adalah tiada calon sesuai (35.7 peratus), masalah kewangan (26 peratus) dan ingin menumpukan kepada kemajuan kerjaya (18.1 peratus).

“Bilangan perkahwinan menurun 0.04 peratus daripada 206,352 (2017) kepada
203,821 (2019). Kadar perkahwinan pula menurun daripada 6.4 (2017) kepada 6.3 (2019) bagi setiap seribu penduduk.

“Selari dengan penurunan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan lelaki bujang menunjukkan penurunan daripada 50.5 (2017) kepada 50.1 (2019) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan ke atas sementara bagi wanita turut menunjukkan trend yang sama iaitu daripada 47.0 (2017) kepada 46.2 (2019) bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun ke atas.

“Secara puratanya, didapati umur minimum perkahwinan bagi lelaki berkahwin pada 30.6 tahun manakala wanita pula pada umur 28.3 tahun bagi tahun 2019, sekali gus menunjukkan kaum Adam lebih cenderung untuk berkahwin pada usia yang lewat,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, individu yang lewat berkahwin akan memberi implikasi kepada penurunan kadar kesuburan penduduk Malaysia bagi tempoh reproduksi wanita pada usia 15-49 tahun yang mencatatkan penurunan daripada 4.9 bayi pada 1970 kepada 1.8 pada 2019.

Katanya lagi, penurunan kadar kesuburan ini menyebabkan perubahan kepada struktur umur penduduk (transisi demografi) dengan peratusan umur muda iaitu antara 0 hingga 14 tahun menurun daripada 44.5 peratus (1970) kepada 23.3 peratus (2020) manakala peratusan penduduk tua berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 3.3 peratus (1970) kepada 7.0 peratus (2020).

“Justeru, kerajaan melaksanakan pemberian insentif secara menyeluruh kepada ibu mengandung dan pelan perancangan menangani warga emas pada jangka masa panjang seperti Dasar Kependudukan Negara dan menetapkan sasaran 70 juta penduduk pada tahun 2100 yang akan memudahkan penyesuaian dan pemantauan bukan hanya pembangunan ekonomi dan sosial generasi sekarang, tetapi generasi masa depan juga.

“Selain itu kerajaan Kerajaan juga memperkenalkan sejumlah langkah dan insentif yang memungkinkan keluarga menyeimbangkan karier dan pembentukan keluarga seperti Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) untuk menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Cuti bersalin yang dilanjutkan dari 300 hingga 360 hari bagi kakitangan kerajaan; rawatan kesuburan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan
bantuan sebanyak RM450 kepada setiap ibu bersalin berkuat kuasa
1 Januari tahun lalu oleh kerajaan Sarawak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN