WALAUPUN pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030, namun sektor makanan negara masih berdepan beberapa cabaran pentadbiran yang menjejaskan kelancaran rantaian bekalan.
Kelewatan meluluskan permit, pertindihan fungsi antara agensi, prosedur birokrasi yang rumit, kelemahan perkongsian data serta penyelarasan yang kurang berkesan antara kementerian dan agensi terus menjadi antara hambatan yang perlu ditangani.
Masalah ini bukan sekadar melibatkan urusan pentadbiran. Kelewatan di peringkat kerajaan boleh meningkatkan kos pengeluaran, mengganggu kecekapan logistik dan akhirnya menyebabkan pengguna membayar harga makanan yang lebih tinggi.
Dalam konteks itu, penguatkuasaan Akta Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) atau lebih dikenali sebagai Akta Iltizam hadir tepat pada masanya sebagai pemangkin reformasi sektor awam.
Walaupun matlamat utama akta ini adalah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, namun kesannya boleh melangkaui aspek pentadbiran kerana pelaksanaannya berpotensi memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.
Masa memainkan peranan penting dalam pengurusan rantaian makanan. Sebarang kelewatan mendapatkan permit import atau eksport, sijil fitosanitasi, pensijilan halal, bantuan subsidi mahupun kelulusan logistik boleh meningkatkan kos operasi.
Keadaan ini turut menyebabkan penghantaran tertangguh, hasil selepas tuaian rosak dan bekalan berkurangan sehingga memberi tekanan kepada harga pasaran.
Sebagai contoh, pengimport yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan permit mungkin perlu menanggung kos penyimpanan dan logistik tambahan. Begitu juga petani yang lewat menerima subsidi baja atau benih berkualiti boleh terlepas musim penanaman yang optimum.
Apabila pengeluaran merosot, kesannya bukan sahaja dirasai pengeluar, malah pengguna turut berdepan harga makanan yang lebih tinggi.
Melalui Akta Iltizam, kerajaan memperkenalkan pendekatan yang menekankan penyederhanaan proses kerja, pengurangan kerenah birokrasi dan penetapan tempoh penyampaian perkhidmatan yang lebih jelas.
Jika dilaksanakan dengan berkesan, perubahan ini dapat mengurangkan kos transaksi serta mempercepat perjalanan bekalan makanan dari ladang hingga ke meja pengguna.
PENYELARASAN AGENSI PERLU DIPERKUKUH
Keterjaminan makanan tidak mungkin tercapai sekiranya setiap kementerian dan agensi bergerak dalam ruang masing-masing. Pengurusan ekosistem makanan melibatkan pelbagai pihak, antaranya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta kerajaan negeri.
Tanpa penyelarasan yang kukuh, pertindihan fungsi dan kelewatan membuat keputusan boleh terus berlaku. Justeru, prinsip Pendekatan Keseluruhan Kerajaan yang ditekankan melalui Akta Iltizam perlu diterjemahkan dalam bentuk kerjasama yang benar-benar berkesan.
Pendekatan ini membolehkan kementerian dan agensi berkongsi tanggungjawab serta menyelesaikan sesuatu isu berdasarkan kepentingan keseluruhan rantaian makanan, bukan mengikut sempadan bidang kuasa masing-masing.
Setiap agensi juga perlu menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas, termasuk tempoh memproses permit, kadar kelulusan permohonan, masa memberi maklum balas terhadap aduan dan tahap kepuasan pelanggan.
Penilaian berdasarkan prestasi dapat memperkukuh akauntabiliti kerana kejayaan tidak lagi diukur berdasarkan pelaksanaan prosedur semata-mata tetapi melalui hasil yang diterima rakyat dan industri.
Pada masa sama, kerajaan perlu mempercepat pendigitalan urusan berkaitan sektor makanan. Penggunaan platform dalam talian bagi permohonan permit, lesen, pensijilan halal, subsidi pertanian dan kelulusan logistik dapat memudahkan urusan pemain industri serta mengurangkan keperluan hadir secara fizikal ke pelbagai jabatan.
Konsep Sistem Sehenti boleh menjadi antara penyelesaian penting dalam usaha ini. Melalui satu portal bersepadu yang menghubungkan pelbagai agensi, pemohon tidak lagi perlu menghantar dokumen sama berulang kali kepada jabatan berbeza. Pada masa sama, perkongsian data secara masa nyata dapat mempercepat proses semakan dan membuat keputusan.
Pendigitalan turut membuka ruang kepada penggunaan analisis data raya, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan papan pemuka masa nyata untuk memantau pengeluaran, inventori, pergerakan logistik serta perubahan harga makanan.
Kerajaan dapat mengesan tanda awal gangguan bekalan dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius dengan data yang tepat dan pantas.

PERATURAN PERLU LEBIH CERMAT DAN BERDASARKAN RISIKO
Reformasi penyampaian perkhidmatan juga perlu meliputi peraturan yang mengawal sektor agromakanan. Selama ini, pemain industri sering berdepan prosedur kompleks, syarat permit yang bertindih dan kos pematuhan tinggi sehingga menjejaskan kecekapan serta daya saing.
Kerajaan perlu menyemak peraturan secara berkala bagi mengenal pasti syarat yang sudah lapuk, tidak lagi relevan atau bertindih. Peraturan yang tidak lagi diperlukan boleh dipinda atau dimansuhkan, manakala proses yang masih penting perlu dipermudah tanpa menjejaskan keselamatan makanan.
Pendekatan Pengawalseliaan Berasaskan Risiko juga wajar diberi perhatian. Melalui kaedah ini, aktiviti berisiko tinggi terhadap keselamatan makanan dan kesihatan awam akan menerima pengawasan lebih ketat, manakala aktiviti berisiko rendah boleh melalui proses yang lebih mudah.
Pendekatan berasaskan risiko membolehkan kerajaan menumpukan sumber kepada perkara yang benar-benar memerlukan pengawasan rapi. Pada masa sama, industri tidak terbeban dengan prosedur yang sama bagi setiap jenis aktiviti tanpa mengambil kira tahap risikonya.
Pelaksanaan Akta Iltizam berpotensi memberi manfaat kepada seluruh ekosistem makanan negara. Kerajaan dapat memperkemas penyelarasan dasar, meningkatkan kecekapan institusi dan mempercepat keputusan. Industri pula boleh mengurangkan kos pematuhan, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya saing.
Bagi petani dan pengeluar, proses yang lebih cekap membuka ruang kepada akses lebih pantas terhadap subsidi, bantuan teknologi dan input pertanian. Keadaan ini boleh meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka. Pengguna pula berpeluang menikmati bekalan makanan yang lebih stabil, berkualiti dan berpatutan apabila rantaian bekalan bergerak dengan lebih lancar.
Hakikatnya, keterjaminan makanan tidak boleh dicapai hanya dengan meningkatkan pengeluaran pertanian. Negara juga memerlukan sistem tadbir urus yang cekap, institusi yang responsif dan peraturan yang mampu mengikuti perubahan semasa.
Dalam konteks ini, Akta Iltizam perlu dilihat lebih daripada sekadar undang-undang reformasi pentadbiran awam. Pelaksanaannya berpotensi menjadi instrumen strategik untuk memperkemas keseluruhan rantaian bekalan makanan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, akauntabiliti yang jelas, pendigitalan menyeluruh dan peraturan yang lebih berkesan.
Jika prinsip ini dilaksanakan secara konsisten, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan kerenah birokrasi, malah mampu membina sistem makanan yang lebih cekap, berdaya tahan dan mampan.
Pada akhirnya, kejayaan reformasi ini perlu diukur berdasarkan hasil yang dirasai rakyat, iaitu bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan mampu milik serta sebuah negara yang lebih bersedia menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa hadapan. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










