Suara suri rumah melangkaui tembok keluarga

Suara suri rumah melangkaui tembok keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SURI rumah secara umumnya difahami sebagai individu yang menguruskan institusi kekeluargaan. Tanggungjawab ini sering dilihat sebagai urusan domestik yang berlaku dalam ruang rumah dan tidak banyak berkait dengan kehidupan masyarakat secara lebih luas.

Hakikatnya, peranan golongan ini jauh lebih besar kerana menjadi antara tonggak yang membentuk kestabilan emosi, sosial dan kesejahteraan sesebuah keluarga.

Besarnya amanah seorang wanita dalam menguruskan rumah tangga turut mendapat perhatian dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita adalah pemelihara rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia akan ditanya tentang urusan tersebut.” (HR Muslim). Hadis ini menggambarkan tugas mengurus keluarga bukan tanggungjawab kecil, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Dalam kefahaman masyarakat sebelum ini, ruang lingkup kerja domestik suri rumah sering terbatas kepada menyediakan makanan, mengurus keperluan anak-anak dan keluarga serta memastikan kediaman berada dalam keadaan baik. Namun, tugas tersebut sebenarnya menjadi asas penting kepada pembentukan keluarga yang stabil.

Melalui peranan harian yang dilakukan, suri rumah membantu membina suasana rumah yang menyokong perkembangan emosi anak-anak, keharmonian pasangan dan kesejahteraan seluruh anggota keluarga.

Pandangan ini selari dengan pemikiran ahli sosiologi yang mengembangkan Teori Fungsionalisme pada era 1950-an, Talcott Parsons, Menurut pendekatan Parsons, institusi keluarga dapat berfungsi dengan lebih berkesan apabila setiap anggota memainkan peranan masing-masing.

Secara tradisional, suami menjalankan peranan instrumental dengan menyediakan keperluan ekonomi, manakala wanita memegang peranan ekspresif melalui pengurusan rumah tangga, pembesaran anak-anak dan pemberian sokongan emosi.

Walaupun pembahagian peranan tersebut lahir daripada konteks masyarakat pada zamannya, perubahan sosial dan ekonomi telah mengubah wajah keluarga moden.

Peranan suri rumah kini tidak lagi terhad kepada urusan dalam rumah, malah semakin berkembang mengikut keperluan semasa.

Perkembangan teknologi dan ekonomi digital membuka ruang baharu kepada wanita yang menguruskan rumah tangga. Sebahagian mereka kini menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian, e-dagang, pemasaran digital,

Perkhidmatan bebas dan penulisan. Mereka mampu bekerja dari rumah sambil menguruskan keperluan keluarga, sekali gus membantu menambah pendapatan isi rumah.

Perkembangan ini menunjukkan kemajuan teknologi bukan sahaja mengubah cara masyarakat bekerja tetapi turut memperluas pilihan ekonomi kepada wanita yang memilih untuk berada di rumah.

Usaha tersebut turut mendapat sokongan melalui pelbagai inisiatif kerajaan. Antaranya ialah Skim Peningkatan dan Penambahbaikan Bakat Suri Rumah (HEARTS) yang dikendalikan oleh SME Corp. Program sebegini penting kerana memberi peluang kepada suri rumah meningkatkan kemahiran, meneroka sumber pendapatan baharu dan membina keupayaan ekonomi tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Namun, sumbangan suri rumah tidak seharusnya dinilai berdasarkan pendapatan yang dijana semata-mata. Nilai sebenar suri rumah turut terserlah melalui kemampuan membawa suara keluarga ke dalam ruang awam dan mempengaruhi keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Perkara ini dapat dilihat dalam perkembangan projek Perkhidmatan Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3). Dalam titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pada 1 Julai lalu, antara lain menyebut projek berkenaan susulan daripada keluhan dan rintihan yang diterima daripada suri rumah mengenai suami mereka yang kerap pulang lewat selepas waktu kerja akibat kesesakan lalu lintas, khususnya di Lebuhraya Persekutuan.

Sekilas pandang, aduan berhubung kesesakan jalan raya mungkin kelihatan seperti isu pengangkutan biasa. Namun, perkara itu membawa makna yang lebih besar. Kelewatan pasangan pulang ke rumah mengurangkan masa bersama keluarga, menjejaskan rutin harian dan boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi anggota rumah tangga.

Keluhan tersebut menunjukkan suri rumah bukan sekadar memikirkan keselesaan peribadi. Mereka turut melihat bagaimana masalah infrastruktur dan mobiliti memberi kesan kepada hubungan keluarga. Apabila suara itu disampaikan kepada pihak berkuasa, mereka sebenarnya membawa perspektif keluarga ke dalam perbincangan pembangunan awam.

Dalam konteks LRT3, suara suri rumah menjadi sebahagian daripada aspirasi masyarakat yang mahukan sistem pengangkutan lebih baik.

Manfaatnya pula tidak terhad kepada sesebuah keluarga kerana kemudahan awam yang lebih cekap turut membantu penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya menikmati kehidupan yang lebih teratur.

SUARA SURI RUMAH MAMPU MENGUBAH MASYARAKAT

Sejarah Islam juga memberikan contoh penting tentang bagaimana suara seorang wanita yang menguruskan rumah tangga mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat. Peristiwa yang melibatkan Sayyidatina Khawlah RA dan persoalan hukum zihar menjadi antara contoh yang sering dirujuk dalam hal ini.

Khawlah RA mengadu kepada Rasulullah mengenai tindakan suaminya yang melakukan zihar, satu amalan masyarakat jahiliah yang menzalimi wanita dengan menggantung status mereka tanpa memberi kebebasan untuk meneruskan kehidupan.

Aduan tersebut mendapat perhatian Rasulullah dan akhirnya menjadi sebab turunnya ayat pertama hingga keempat Surah al-Mujadilah yang menjelaskan hukum berkaitan perbuatan berkenaan serta menetapkan kewajipan kaffarah kepada suami.

Peristiwa ini membawa pengajaran besar. Suara seorang wanita yang berdepan masalah dalam rumah tangga tidak dianggap remeh hanya kerana beliau bukan tokoh politik atau pemimpin masyarakat. Sebaliknya, aduannya mendapat perhatian sehingga membawa kepada penetapan hukum yang melindungi hak dan maruah wanita.

Begitu juga dengan pengalaman suri rumah dalam konteks pembangunan semasa. Aduan mengenai kesesakan lalu lintas mungkin bermula daripada pengalaman sebuah keluarga tetapi isu itu boleh berkembang menjadi persoalan kepentingan awam apabila menyentuh masa perjalanan, kesejahteraan keluarga dan kualiti hidup masyarakat.

Kedua-dua contoh ini memberi isyarat jelas kepada pemimpin dan masyarakat bahawa sesuatu pandangan tidak wajar dinilai berdasarkan siapa yang menyampaikannya. Jika hujah yang dikemukakan berasas dan isu yang dibawa menyentuh kepentingan ramai, suara tersebut perlu didengar dan diberikan perhatian sewajarnya.

Dalam hal ini, suri rumah wajar dilihat sebagai sebahagian daripada aset sosial negara. Mereka bukan hanya mengurus rumah, malah membentuk generasi, menyokong kestabilan keluarga, menyumbang kepada ekonomi dan membawa perspektif masyarakat ke dalam ruang pembangunan.

Oleh itu, usaha memperkasa suri rumah perlu bergerak dalam kerangka yang lebih luas. Mereka memerlukan akses kepada pendidikan, latihan kemahiran, teknologi, peluang ekonomi dan ruang menyuarakan pandangan.

Pada masa sama, masyarakat perlu menghargai kerja penjagaan dan pengurusan rumah tangga sebagai sumbangan penting yang sering tidak kelihatan dalam ukuran ekonomi konvensional.

Suri rumah yang mengurus keluarga dengan baik sebenarnya membantu membina asas masyarakat yang lebih stabil. Apabila keluarga kukuh, anak-anak mendapat sokongan yang baik, hubungan sosial menjadi lebih sihat dan masyarakat lebih bersedia menghadapi tekanan ekonomi serta perubahan zaman.

Akhirnya, peranan suri rumah tidak seharusnya berhenti pada sempadan rumah. Mereka ialah penjaga keluarga, penyumbang kepada ekonomi dan suara yang mampu membawa perubahan dalam pembangunan masyarakat.

Dengan memberikan pengiktirafan serta ruang yang sewajarnya, negara dapat membina ekosistem yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Menghargai suri rumah bukan sekadar menghargai kerja yang mereka lakukan setiap hari tetapi mengiktiraf sumbangan besar golongan itu dalam membentuk keluarga, masyarakat dan masa depan negara.-UTUSAN

 

DR. A’isyah Mohd. Safien ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN