PUTRAJAYA: Malaysia berisiko terjerumus ke dalam krisis kesihatan terburuk dalam sejarah jika jangkitan positif Covid-19 terus meningkat kepada 7,000 hingga 8,000 kes setiap hari.
Lebih memburukkan keadaan, kapasiti penggunaan hospital semakin kritikal dan sistem penjagaan kesihatan di bawah tekanan amat besar dengan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 secara keseluruhannya telah mencapai 83 peratus.
Situasi sama turut berlaku di kebanyakan 31 hospital swasta di sekitar Lembah Klang yang mana hampir sepenuhnya katil yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 digunakan dalam tempoh tiga minggu lalu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk jangkitan yang semakin meningkat pada waktu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Dr. Shahabuddin Ibrahim berkata, keadaan di pusat kuarantin di situ juga berada pada tahap membimbangkan apabila pesakit kategori tiga meningkat dengan drastik.
Menurut beliau, jumlah katil untuk kategori berkenaan terpaksa ditambah kepada 1,000 katil yang sebelum ini hanya bermula 60 katil dengan tahap penggunaan mencapai 70 peratus, selain lebih 50 pesakit setiap hari perlu dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor berbanding 10 pesakit sebelumnya.
“Ketika ini sebuah dewan baharu dibuka untuk memberikan lebih ruang. Apa yang membimbangkan pesakit kategori 3 meningkat dengan drastik, dan pesakit yang kami rujuk kepada Hospital Sungai Buloh semakin bertambah.
“Saya mahu mengingatkan orang ramai, kealpaan kita boleh mengakibatkan kesengsaraan orang lain sama ada orang yang kita sayang atau kepada petugas yang siang malam bertungkus-lumus dan semakin tertekan,” katanya di sini semalam.
Perkara itu turut diluahkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitternya yang bimbang mengenai penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 semakin kritikal dan terhad berikutan penularan wabak yang belum menunjukkan penurunan.
Setakat kelmarin, kata Dr. Noor Hisham, kadar penggunaan katil di hospital di seluruh negara telah mencapai 83 peratus.
“Jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin berkurangan dan keadaan tersebut semakin membimbangkan sekiranya jumlah kes tidak dapat dilandaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, peningkatan kes berkemungkinan besar merisikokan hospital-hospital kerajaan dan swasta tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit yang memerlukan katil terutama dalam kategori 3, 4 dan 5.
“Kalau angka tinggi ini kebanyakan mereka dalam kategori 1 dan 2 yang boleh kuarantin di rumah, maka situasi tidak begitu mendesak, namun ia mungkin menimbulkan masalah jika pesakit kategori ini berubah menjadi kategori 3, 4 dan 5.
“Jadi kalau jumlah pesakit terlalu ramai, itu yang kita khuatir seperti mana kita tengok di negara lain, masalah ini terjadi apabila tidak ada katil untuk pesakit kritikal. Persoalan perlu dijawab adakah mereka ada tempat untuk dirawati,” katanya di sini semalam.
Dalam hal itu, beliau meminta kerajaan bertindak tegas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga minggu kerana melihat kepada kurangnya pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP) sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan kes yang lebih membimbangkan.
Dr. Kuljit berkata, negara boleh melaksanakan PKP pertama pada tahun lalu walaupun pada ketika itu jumlah kes sekitar 300 kes, justeru, melihat kepada perbandingan jumlah kes yang serius sekarang ini, maka tindakan tegas itu perlu dilakukan sekali lagi.
Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan segera apatah lagi dengan kemunculan varian baharu yang semakin ganas menyebabkan situasi tidak boleh dijangka.
“Kita tidak mahu jadi seperti di beberapa negara lain, adalah terlalu lambat untuk buat keputusan kalau itu berlaku di negara ini. Kalau kita fikir sistem kesihatan tidak boleh lagi menampung, maka adalah lebih baik melaksanakan PKP penuh.
“Kita tidak mahu orang mati di jalan-jalan. Nyawa tidak boleh ganti, sedangkan wang boleh dicari. Pada masa sama kerajaan perlu mencari kaedah untuk menangani isu ekonomi dengan mengimbangi antara risiko dan manfaat,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Kuljit berkata, pihak hospital swasta bersedia untuk membantu kerajaan dalam memindahkan pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat di hospital swasta sekali gus memberi ruang kepada hospital kerajaan memfokuskan rawatan pesakit Covid-19.
Pada masa sama, kata beliau, pihaknya boleh memberi bantuan dari segi ubat-ubatan, alat bantuan pernafasan dan menggerakkan petugas kesihatan sebagaimana pernah dilaksanakan pada awal pandemik dengan menyerahkan sebanyak 75 ventilator untuk kegunaan hospital kerajaan.
“Hospital swasta boleh mengambil pesakit Covid-19 tetapi ada hadnya kerana kita tidak ada keupayaan untuk merawat pesakit Covid-19 terutama bagi pesakit tahap 4 dan 5. Isunya bukan sekadar penyediaan katil sahaja, tetapi tahap kemampuan penjagaan dan rawatan oleh pegawai perubatan kami untuk melaksanakan tugas itu,” katanya.
Dr. Kuljit turut mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah jika tiada urusan penting kerana pada ketika ini hospital tidak mampu lagi menerima anda jika dijangkiti.
“Sekarang ini kalau tidak ada katil, anda boleh mati. Cuba bayangkan bila kena Covid-19, tidak ada satu tempat boleh terima anda dan pada masa itu sudah terlambat untuk menyesal.
“Jangan cuba cari alasan untuk keluar kerana Covid-19 tidak ada alasan untuk menjangkiti anda,” katanya. – UTUSAN










