Dua beranak berpaut pada kereta, nyaris dihanyut  arus deras - Utusan Malaysia

Dua beranak berpaut pada kereta, nyaris dihanyut  arus deras

DUA beranak berpaut pada kereta Toyota Vios yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kota Raja, Taman Meru 2C di Ipoh hari ini.- UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara meredah jalan dinaiki air, dua beranak berdepan detik cemas apabila terpaksa berpaut pada kereta yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kota Raja, Taman Meru 2C di sini hari ini.

Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika wanita berusia 47 tahun dan anak perempuannya berumur 19 tahun dalam perjalanan dari Kota Raja ke rumah mereka di Manjung. 

Bagaimanapun, limpahan air Sungai Meru  menyebabkan arus deras hingga menghanyutkan kereta dinaiki mereka.

Mangsa yang panik bertindak pantas dengan keluar dari kereta Toyota Vios itu dan berpaut pada bahagian tingkap kereta sebelum kejadian tersebut disedari penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada penduduk pada pukul 6.04 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa cuba bertahan dengan berpaut pada kereta dinaiki mereka dalam tempoh 10 minit sebelum kehadiran pasukan bomba.

“Operasi menyelamat dijalankan dengan dua anggota memakai jaket keselamatan dan bergerak perlahan-lahan mengikut arus untuk sampai kepada mangsa menggunakan tali yang dibuat ‘anchoring’ pada pokok,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dua mangsa kemudian dipakaikan jaket keselamatan dan dibawa ke tempat yang selamat.

“Kedua-dua mangsa selamat dan tidak cedera. Kenderaan mangsa juga tidak dihanyutkan kerana air sudah mulai surut. 

“Mereka yang mengalami trauma diserahkan kepada keluarga dan operasi tamat pada pukul 7.19 petang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.