Covid-19 meningkat, bazar Ramadan tutup - Utusan Malaysia

Covid-19 meningkat, bazar Ramadan tutup

Cuaca hujan lebat di bazar Ramadan Kampung Baru pada hari pertama puasa di Jalan Raja Alang pada 13 April lalu.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekurang-kurannya 22 tapak bazar Ramadan di enam buah negeri dan di ibu negara diarah tutup bermula hari ini kerana dikesan berlaku ancaman penularan Covid-19 di lokasi-lokasi tersebut.

Ini termasuk bazar Ramadan paling terkenal di Kuala Lumpur iaitu di Jalan Raja Alang berhampiran Kampung Baru dan di Taman Setiawangsa.

Selain itu, bazar yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi menyebarkan jangkitan ialah di Pulau Pinang (8), Johor (4), Kedah (3), masing-masing dua di Selangor dan Pahang serta di Perak satu.

Arahan tersebut sekali gus menjejaskan lebih 4,000 peniaga yang terpaksa menghentikan perniagaan masing-masing.

Penutupan itu bagi membendung peningkatan kes Covid-19 yang terus membimbangkan dengan semalam merekodkan 3,788 kes jangkitan baharu.

Malaysia terus mencatatkan bilangan pesakit Covid-19 melebihi 3,000 kes sehari sejak 28 April lalu dan angka melebihi 1,000 sejak 29 Mac.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, penutupan 22 bazar Ramadan dilakukan susulan laporan Hotspot Identification Dynamic Engagement (HIDE) Bank Negara Malaysia (BNM) yang memaklumkan pengesanan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di 22 bazar terlibat.

Menurut beliau, laporan tersebut adalah hasil analisis pengesanan kontak rapat yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan menerusi rekod aplikasi MySejahtera.

“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu memutuskan untuk menutup 22 bazar Ramadan terbabit mulai hari ini bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, berapa lama bazar tersebut perlu ditutup bergantung kepada penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan di setiap negeri terlibat.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin memberitahu, Pulau Pinang menyaksikan paling banyak bazar yang diarah tutup iaitu lapan dan diikuti Johor empat buah.

Sebelum ini, tiga bazar Ramadan masing-masing di Kedah, Selangor dan Terengganu mengambil langkah sama menutup bazar di negeri masing-masing buat beberapa hari kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam perkembangan sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam turut menzahirkan kegusaran dengan tahap pematuhan SOP di beberapa majlis keraian serta bazar Ramadan yang tidak memuaskan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut bimbang dengan penutupan beberapa sekolah akibat penularan wabak itu.

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan serta SOP bagi mengelakkan negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti yang dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah,” kata Ahmad Fadil.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital swasta di Lembah Klang penuh 100 peratus manakala hospital kerajaan pula kritikal terutamanya di negeri-negeri yang berlaku peningkatan mendadak kes positif. – UTUSAN

INFO GRAFIK

22 Bazar Ramadan ditutup

Penang
1. MPKK Jalan Tenggiri
2. Attakwa Taman Bertam Indah
3. Bazar Ramadan
4. Kampung Melayu
5. Masjid Daerah Barat Daya
6. Jalan Berangan Bukit Bintang 2021
7. Bukit Gedung
8. Taman Tun Sardon

Johor
1. Belatuk Taman Scientex
2. Kg. Pasir, Jalan Mata Kuching
3. @Mart Kempas
4. Lok Heng

Kedah
1. Taman Selasih
2. Baling 2021
3. Kupang 2021

Pahang
1. Lurah Semantan
2. Temerloh Jaya

Perak
1. Bazar Nenas Kg. Selabak

Selangor
1. Pusat Sementara Penjaja/Puncak Jalil
2. Stesen LRT Cempaka

Kuala Lumpur
1. Taman Setiawangsa
2. Jalan Raja Alang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×