PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan tidak akan ada mana-mana parti yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana pada masa ini terlalu banyak parti yang mahu bertanding, namun tidak ada satu pun parti dominan.
Beliau menjelaskan, setiap parti hanya akan memperoleh bilangan kerusi sedikit, justeru mana-mana parti yang memenangi kerusi terbanyak akan mendirikan sebuah kerajaan minoriti.
Dalam situasi itu, kata beliau, kerajaan minoriti tidak akan kekal dan parti itu akan mula mencari ‘kawan’ untuk menubuhkan satu gabungan bagi menguatkan kerajaan yang dibentuk.
“Saya fikir PRU-15 ini tidak menyelesaikan masalah. Kita dapati banyak parti bertanding. Semua parti kecil-kecil belaka. Tidak ada dominan parti.
“Jadi bila tidak dominan, yang dapat terbanyak berhak untuk mendirikan kerajaan minoriti.
“Tapi kerajaan minoriti tak kekal, dia nak kena cari kawan. Bila nak jadi kawan, dia cari parti lain yang akan menang akan ditubuh satu gabungan very loose (longgar),” katanya dalam temu bual eksklusif di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Selasa lalu.
Menurut Dr. Mahathir, gabungan pasca pilihan raya tidak sama dengan gabungan pra pilihan raya sebagaimana pembentukan Barisan Nasional (BN) terdahulu apabila setiap parti komponen sudah berada dalam gabungan sejak awal.
Katanya, gabungan baharu selepas pilihan raya akan terdedah kepada ‘tawar-menawar’ kepada parti lain supaya menyertai gabungan itu.
“Kedudukan kerajaan tidak akan stabil, pasal mana-mana satu parti tarik diri, jatuh. Jadi itulah yang akan jadi dalam PRU-15,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) – sebuah parti belum berjaya didaftarkan setakat ini – berkata, UMNO ketika ini tidak kuat seperti dahulu, malah sudah berpecah kepada empat kumpulan.
Katanya, jika UMNO buat pemilihan parti sekali pun, UMNO tidak boleh diterima rakyat selagi kepimpinan lama yang terpalit dengan kluster mahkamah masih lagi menerajui parti.
Begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menjangkakan kalah pada PRU-15 kerana parti itu tidak cukup majoriti dan jika menang sekali pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan jadi Perdana Menteri semula kerana mereka tidak bergantung kepada Presiden Bersatu itu untuk mendirikan kerajaan.
“Bersatu tak dapat tubuh sebuah parti yang kuat. Cuma dua majoriti saja. Jadi apa yang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang, Bersatu akan kalah. Muhyiddin tak akan jadi Perdana Menteri kalau pun dia menang.
“Pasal orang tak bergantung kepada Muhyiddin untuk nak diri kerajaan. Kalau lah mereka buat parti kerajaan memang dia tak bagi kepada Muhyiddin, jadi Muhyiddin punya penggal sebagai PM tamat bila pilihan raya diadakan,” katanya.
Mengenai Pas, kata beliau, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak akan menjadi king maker dalam PRU-15.
“Pas tak boleh jadi king maker. Dia cuma kuat di Kelantan, Terengganu. Pas dia punya cita-cita dia sedar dia tak mungkin jadi Kerajaan Pusat dengan sendiri. Dia boleh menyertai gabungan untuk jadi Kerajaan Pusat.
“Dia puas hati kalau dia dapat Kelantan, Terengganu dan mungkin Kedah. Sudah cukup bagi Pas. Pas bukan nak jadi Kerajaan Pusat. On his own (dengan berdiri sendiri) dia tak boleh jadi Kerajaan Pusat. Dia tahu. Itu lah peranan Pas sampai bila pun,” katanya.
Ikuti wawancara penuh dalam muka surat 12 dan 13










