Beratur lebih 30 minit beli barang sempena lockdown - Utusan Malaysia

Beratur lebih 30 minit beli barang sempena lockdown

ORANG ramai beratur panjang bagi membeli barangan keperluan sebelum pelaksanaan lockdown di sebuah pasar raya di Arau, Perlis pada 29 Mei 2021.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seperti dijangka pengumuman kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula Selasa ini mendorong orang ramai melakukan pembelian panik.

Suasana dilihat di pasar-pasar raya sekitar negeri ini dengan orang ramai mengambil kesempatan membeli lebih awal barangan keperluan meskipun sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh ‘lockdown itu’.

Tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati orang ramai beratur panjang di kaunter-kaunter bayaran dengan barangan pula masing-masing penuh troli.

Seorang kakitangan swasta, Jamilah Ismail,36, berkata, dia mengambil kesempatan sebelum pelaksanaan lockdown untuk membeli barang keperluan.

Katanya, dia terpaksa beratur lebih 30 minit sebelum sampai giliran membuat pembayaran.

“Saya membeli barangan keperluan lebih awal kerana malas keluar tempoh lockdown nanti. Mungkin orang ramai juga disebabkan mereka sudah terima gaji bulan ini,” katanya.

Seorang suri rumah, Hamizah Ibrahim,32, pula berkata, dia hanya ingin membeli beberapa jenis barang namun terpaksa berbaris panjang lebih 30 minit.

Katanya, dia tidak bimbang kerana kedai-kedai yang menjual barang keperluan terus beroperasi sepanjang tempoh lockdown.

“Saya beli yang mana perlu tidak melakukan pembelian panik. Ramai orang dilihat membeli banyak barangan seolah-olah semua kedai akan ditutup selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Norazah Jaapar berkata, hasil pemantauan mendapati pengguna ramai tertumpu di pasar raya dan pasar basah sekitar Kangar.

“Walaupun pelanggan lebih ramai daripada biasa, pengurusan premis  memastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi dan menetapkan jumlah pelanggan menerusi sistem nombor giliran. 

“Terdapat pasar raya yang menetapkan kuantiti pembelian barang. Secara keseluruhannya situasi pembelian adalah terkawal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN