Bekas ADUN Jabi, 3 tetamu dikompaun RM2,000 ziarah Aidilfitri - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Jabi, 3 tetamu dikompaun RM2,000 ziarah Aidilfitri

MOHD. ISKANDAR Jaafar (kiri) menerima kompaun kerana menerima tetamu pada hari pertama Aidilfitri di IPD Besut, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar hari ini dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, turut dikenakan kompaun sama ialah tiga tetamu lelaki yang juga jirannya termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) berusia 40 tahun.

“Kesemua mereka menerima tawaran kompaun itu ketika hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Mohd. Iskandar mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya pada hari pertama Aidilfitri susulan tular empat keping gambar memaparkan orang ramai termasuk kanak-kanak menikmati juadah.

Sementara itu, Mohd. Iskandar yang juga Ketua Urusetia UMNO DUN Jabi berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan dengan Pejabat Kesihatan daerah bagi mengurangkan nilai kompaun berkenaan.

Katanya, dua daripada tiga tetamunya itu adalah golongan buta huruf dan tiada pendapatan manakala seorang lagi hanya bekerja sebagai buruh binaan.

“Mereka jiran dan kawan saya sejak kecil, Jusoh yang berusia 51 tahun tidak tahu menulis dan membaca begitu juga Suhaimi, 40, yang sudah tidak bekerja kerana patah lima jari kaki dalam kemalangan Ramadan lalu.

“Sebagai tuan rumah saya tidak sampai hati menghalang mereka hadir tanpa dijemput dan tiada penganjuran rumah terbuka sebagaimana dakwaan yang tular,” katanya dalam hantaran di laman Instagram. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya