'Aqim sempat ucap selamat tinggal' - Utusan Malaysia

‘Aqim sempat ucap selamat tinggal’

NUR Ain Ismail ditenangkan ahli keluarga dan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika operasi mencari dijalankan di kolam tadahan air di Taman Arowana Indah, Seremban 2, Seremban, semalam.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir di longkang memberitahu, anaknya itu sempat mengucapkan selamat tinggal sebelum dihanyutkan air deras dalam kejadian, di sini petang semalam.

Nur Ain Ismail, 27, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang lagi anaknya yang berusia 10 tahun yang bermain bersama Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, di longkang Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2.

Kedua-dua beradik tersebut bermain di longkang berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka berusia 12 tahun sebelum Mohammad Syafiq Mustaqim tergelincir dan dibawa arus air deras dalam kejadian pukul 4 petang ketika hujan lebat.

“Anak saya sempat ucap selamat tinggal pada abangnya ketika kejadian sebelum dibawa arus. Sebelum ini anak saya tidak pernah bermain di longkang berkenaan.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian, saya bergegas dari tempat kerja. Saya reda tapi harap anak saya dapat ditemukan dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pencarian di kolam tadahan air di Taman Arowana Indah, Seremban 2.

Menurut Nur Ain, sewaktu kejadian, kedua-dua anaknya itu adalah di bawah jagaan bekas suaminya, Mohd. Fadly Md. Sani, 32.

“Hari ini (semalam) mereka (anak-anak) di bawah jagaan bekas suami saya. Bagaimanapun, dia (bekas suami) memaklumkan ada kerja yang perlu disiapkan di Kuala Lumpur dan terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah.

“Saya sempat jumpa dengan anak pada tengah hari dan memaklumkan agar mereka tidak keluar dari rumah sehingga bapa mereka pulang dari tempat kerja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia memberitahu, Mohd. Fadly ada membelikan pakaian baharu untuk anak-anak mereka dua hari lalu bagi menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Semasa saya mencubakan pakaian baharu itu ke badan Aqim dia nampak sangat teruja. Saya tidak sangka jadi begini,” katanya.

Sementara itu, operasi mencari mangsa dihentikan tengah malam tadi dan disambung semula pagi ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 4 petang dan menggerakkan anggota polis serta bomba ke lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan tergelincir ketika bermain di longkang di Flat Cempaka berkenaan. Sewaktu kejadian, hujan agak lebat dan dipercayai mangsa dihanyutkan dalam air deras.

“Tumpuan pencarian bermula dari tempat kejadian dan secara permukaan dan pihak bomba juga menyediakan pasukan penyelamat di air bagi tujuan mencari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya