GEORGETOWN: Peraturan melibatkan aktiviti sosial berkemungkinan diperketat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana kes-kes terkini jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang pada masa ini kebanyakan berlaku di lapangan melibatkan aktiviti sosial dan sektor pendidikan.
Selain itu, jelas beliau, kluster sektor perkilangan telah meresap masuk ke dalam komuniti ekoran berlakunya aktiviti sosial.
“Dipercayai apa-apa PKP yang dikenakan akan diketatkan aktiviti yang boleh membawa kepada merebaknya jangkitan Covid-19,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Program e-Pembelajaran Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Pusat bersetuju melaksanakan PKP di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Johor, Perak dan Terengganu.
Selain itu, PKP turut dikenakan di enam daerah di Selangor bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan pada masa ini.
Setakat ini, Pulau Pinang masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun peningkatan kes positif Covid-19 menimbulkan desas desus mengenai kemungkinan PKP dilaksanakan semula di negeri ini.
Menurut Kon Yeow, semua pihak perlu menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada PKP dilaksanakan atau sebaliknya di Pulau Pinang.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri mengemukakan analisis risiko yang dikemas kini mengenai keadaan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan untuk membolehkan MKN memutuskan sama ada PKP perlu dilaksanakan.
“Laporan telah dihantar pada Rabu lalu namun tidak ada keputusan dibuat pada waktu itu.
“Selepas itu, sekali lagi Jabatan Kesihatan negeri menyerahkan laporan terkini berikutan peningkatan kes, jadi saya yakin keputusan mengenai arah tuju Pulau Pinang akan dibuat hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










