Aida kembali dengan mesej mengenai masa bersama keluarga adalah emas -

Aida kembali dengan mesej mengenai masa bersama keluarga adalah emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan filem barunya bertajuk ‘Hikmah Raya Aida’. Filem ini menekankan betapa pentingnya untuk kita
meluangkan masa bersama keluarga dan mengeratkan hubungan dalam apa jua keadaan.

Atas permintaan ramai, TNB membawakan semula Aida, watak yang tidak asing lagi dalam filem raya TNB. Bermula dengan Dugaan Raya Aida pada tahun 2017, Aida kini kembali pada tahun 2021 untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan anda.

“Dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana Aida yang terlalu sibuk sebagai seorang usahawan kuih raya sehingga tidak mempunyai masa untuk meluangkan bersama keluarga. Uniknya dalam filem ini, kita lihat bagaimana di sebalik pandemik yang melanda, ia memberikan hikmah buat Aida dan keluarganya, barangkali serupa juga dengan ramai antara kita dalam menempuhi musim yang mencabar ini”, kata Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma.

“Di TNB, kami berpandukan kepada Matlamat untuk bekerjasama bagi menerangi kehidupan ke arah dunia yang lebih sejahtera. Filem pendek yang sarat dengan nasihat ini menterjemahkan matlamat ini dalam kehidupan kita, dengan menekankan betapa pentingnya meluangkan masa bersama keluarga baik ketika senang, mahupun sukar.”

Tambah Shukreen, filem pendek ini mengajar kita erti kesabaran dalam mengharungi tahun yang serba mencabar ini serta meyakini terdapatnya hikmah di sebalik setiap ujian yang berlaku.

Filem arahan pengarah berkaliber, Quek Shio Chuan secara keseluruhannya digarap dalam bentuk yang lebih segar dengan menyelitkan unsur-unsur komedi dalam jalan cerita yang sarat emosi.

Filem ini mengikuti perjalanan Aida, di mana pada tahun 2017 dia bermula sebagai penjual kuih raya secara kecil-kecilan, dan kini perniagaan kuih rayanya telah maju.

Dalam kesibukan membina empayar kuih rayanya, dia kerap kali terlepas pandang mengenai keluarga yang memerlukan perhatiannya.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh keluarganya dalam percubaan mereka untuk mendekati Aida. Namun, ketika dia bersedih mengenai pandemik yang telah mengubah nasib perniagaannya, ibunya berjaya memujuk Aida untuk meluangkan masa membantu keluarga bagi persiapan raya.

Ini sekali gus telah membuatkan Aida melupakan kesedihannya dan pada akhirnya dia menyedari setiap ujian yang berlaku ada hikmahnya.

Juga dalam filem ini, Jero watak kucing kegemaran ramai juga sengaja dihilangkan agar penonton dapat mengikuti kisah Jero beraya bersama keluarganya di media sosial.

Filem ‘Hikmah Raya Aida’ bakal ditayangkan di YouTube (www.youtube.com/TENAGAofficial) pada 6 Mei 2021 dan akan disiarkan di stesen TV utama bermula 10 Mei 2021. Ia juga akan disusuli dengan iklan cetak di akhbar berbahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Penonton juga boleh mengikuti episod Jero bersama keluarga kucingnya dengan melayari media sosial TNB  https://www.instagram.com/tenaga_nasional/).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN