PETALING JAYA: Musim keputusan kewangan suku pertama menunjukkan momentum pasaran yang lebih lemah apabila bilangan syarikat yang mencatatkan keputusan di bawah jangkaan merentasi beberapa sektor utama.
Situasi ini mendorong penganalisis untuk mengekalkan pendirian pelaburan defensif berikutan ketidaktentuan geopolitik dan risiko pasaran.
CIMB Securities berkata, sebanyak 97 syarikat di bawah liputannya telah melaporkan keputusan suku pertama dan daripada jumlah itu, hanya 12 peratus mengatasi jangkaan, 24 peratus mencatatkan prestasi lebih lemah, manakala 64 peratus menepati ramalan.
“Ini menjadikan nisbah nisbah lebih baik pada 0.52, lebih rendah berbanding 1.33 pada suku keempat 2025, namun meningkat berbanding 0.24 pada suku pertama tahun lalu.
“Walaupun prestasi keseluruhan lebih lemah, keuntungan bersih agregat masih mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus tahun ke tahun, disokong oleh perbelanjaan musim perayaan, kos pembiayaan yang lebih rendah serta aktiviti tempahan awal. Namun begitu, secara suku ke suku, keuntungan menurun 1.7 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari segi sektor, prestasi adalah tidak sekata dengan sektor bahan binaan, minyak dan gas, serta automotif menunjukkan momentum lebih kukuh.
Sebaliknya, sektor pengguna, hartanah, pembinaan dan perjudian antara yang paling lemah.
CIMB turut menaik taraf sektor perladangan, bahan binaan, minyak dan gas serta teknologi kepada “overweight”, manakala menurunkan sektor utiliti, hartanah dan pembinaan kepada “neutral”.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank melaporkan 61 peratus syarikat di bawah liputannya menepati jangkaan, 29 peratus mencatat prestasi di bawah jangkaan, dan 10 peratus melepasi sasaran.
“Keuntungan teras agregat susut enam peratus suku ke suku tetapi meningkat 1 peratus tahun ke tahun, dengan sektor perbankan menjadi penyumbang utama kepada kelemahan prestasi keseluruhan,” katanya.
Bank itu turut mengekalkan sasaran indeks FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada 1,790 mata, dengan jangkaan pasaran kekal lemah pada suku kedua 2026 sebelum pulih menjelang hujung tahun apabila ketegangan geopolitik berkurang.
Dalam laporan berasingan, RHB Research turut mengambil pendirian berhati-hati apabila hanya 12.1 peratus syarikat mengatasi jangkaan, iaitu paras terendah sejak 2018.
“Sektor perbankan, perladangan dan hartanah dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada prestasi lemah,” katanya.
Firma itu mengekalkan strategi pelaburan defensif sambil menyarankan pendekatan “beli ketika kelemahan” dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, termasuk menjelang pilihan raya negeri Johor yang bakal berlangsung.
RHB turut menyemak turun sasaran akhir 2026 FBM KLCI kepada 1,750 mata daripada 1,780 mata, namun mengekalkan gandaan penilaian pada 15.5 kali.
Dalam senario risiko melampau, indeks berpotensi mencecah paras sokongan sekitar 1,433 mata.
Walaupun permulaan tahun yang lemah, ketiga-tiga institusi penyelidikan menjangkakan pertumbuhan pendapatan kekal positif pada 2026, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kekuatan terpilih dalam beberapa sektor, namun menegaskan keperluan untuk pendekatan pelaburan yang lebih defensif dalam jangka masa terdekat. – UTUSAN









