SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan memastikan semua calon yang bertanding memberi tumpuan kepada penyampaian manifesto sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berbanding menggunakan retorik atau menyerang pihak lawan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap calon akan diingatkan supaya memahami sepenuhnya kandungan manifesto sebelum menyampaikannya kepada rakyat.
Beliau berkata, kempen seharusnya memberi penjelasan mengenai perancangan dan tawaran yang ingin dilaksanakan sekiranya diberi mandat bukannya dipenuhi fitnah atau perkara yang tidak memberi manfaat kepada pengundi.
“Kita akan pastikan calon-calon sentiasa membaca, memahami dan menyampaikan kepada rakyat apa yang ingin dilaksanakan menerusi manifesto.
“Kita tidak mahu berkempen dengan fitnah, bergaduh atau membangkitkan perkara yang tidak perlu. Sebaliknya, kita mahu menawarkan manifesto yang realistik dan boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Manifesto Kekal Harapan di sini hari ini.
Terdahulu, Aminuddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada PRN kali ini, melancarkan manifesto bertemakan ‘Negeri Sembilan Kekal Harapan’ yang menggariskan 10 komitmen utama.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, PH mempunyai rekod pentadbiran yang boleh dijadikan sandaran dalam menawarkan janji kepada rakyat.
“Kami bukan kerajaan negeri yang baharu mentadbir. Sudah lapan tahun kami memerintah sejak 2018 dan kami yakin mampu melaksanakan segala yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










