PUTRAJAYA: Semua universiti perlu merombak semula kurikulum program pengajian yang ditawarkan bagi mengatasi lambakan graduan menganggur kerana tidak memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini.
Transformasi total bidang pengajian tinggi itu perlu dilakukan secara drastik dalam menyesuaikan era pasca pandemik Covid-19 yang menuntut perubahan besar-besaran dalam semua bidang kehidupan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, setiap Naib Canselor universiti awam dan swasta perlu bertindak pantas dan berani untuk menyemak kurikulum mereka setiap setahun berbanding tiga tahun sekali yang dituntut sebelum ini.
Menurut beliau, ini bagi membolehkan graduan yang dihasilkan mampu menjadi pencipta pekerjaan dan bukannya pencari pekerjaan.
Katanya, kursus-kursus yang tidak lagi diterima dan kurang permintaan di pasaran harus diteliti semula dengan mengecilkan jumlah pengambilan kursus tidak popular yang sebelum ini dibuat dalam angka besar sehingga memberi masalah untuk memasuki pasaran pekerjaan.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti City berkata, ketika kepemimpinannya di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), beliau menggubal Garis Panduan KPT Pendidikan Bersepadu Keusahawanan untuk menerapkan program keusahawanan merentasi semua kurikulum dan program akademik supaya setiap pelajar mempunyai kemahiran bidang itu tidak hanya dihadkan kepada mereka yang mengambil jurusan perniagaan.
Katanya, dalam hal itu, universiti harus menyemak kurikulum mereka dengan menerapkan elemen keusahawan supaya menjadikan pelajar lebih versatil dan tidak terikat kepada satu disiplin ilmu apabila keluar universiti, malah mereka mampu membuat dua atau tiga pekerjaan sekali gus.
“Unsur-unsur kemahiran komunikasi berbahasa, penguasaan teknologi, internet dan digital perlu diperluas dalam semua bidang bagi membangunkan bakat graduan. Langkah transformasi ini perlu dilakukan sekarang seawal pengambilan pelajar pada September ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebenarnya banyak faktor berlaku lambakan graduan menganggur ketika ini apatah lagi ketika pandemik Covid-19 yang menjejaskan semua sektor ekonomi negara dan dunia ditambah pula situasi politik tidak menentu.
Katanya, faktor-faktor itu sekali gus menyebabkan peluang pekerjaan baharu terbatas malah pekerjaan lama pula semakin menguncup apabila banyak industri mengambil pendekatan mengecilkan operasi mereka dan mengurangkan pengambilan pekerja.
Muka depan Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pandangan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia yang menggesa kerajaan melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang didakwa tidak lagi relevan selain berisiko menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.
Lambakan berlaku dalam pelbagai bidang disebabkan pengeluaran graduan yang tidak seimbang dengan permintaan industri, iklim ekonomi negara yang pasif, kebolehpasaran graduan dan tidak memiliki kemahiran yang diperlukan industri.
Sesetengah kursus yang ditawarkan masih kurang menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti negara dan wujud ketidaksepadanan antara kursus yang ditawarkan IPT dengan pasaran.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad sebelum ini menyatakan, hampir 25 peratus graduan universiti terjejas peluang pekerjaan yang meliputi 75,000 daripada 300,000 graduan dan kajian Pengesanan Graduan 2019 mendapati 116,161 graduan perlu diberi latihan kebolehpasaran kerja.
Dalam pada itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, graduan IPT diingatkan untuk tidak terlalu ‘kalut’ untuk menamatkan pengajian terlalu awal disebabkan oleh keadaan dunia sekarang yang berubah.
Menurutnya, pemilihan kursus bergantung kepada diri setiap pelajar sama ada mahu menambah atau mengambil kursus tambahan.
Katanya, kebanyakan para pelajar kurang mengambil kursus tambahan seperti keusahawanan dan kemahiran digital yang dapat memberi nilai tambah kebolehpasaran kepada diri mereka.
“Ini bergantung kepada pelajar. Pelajar sendiri sudah diberi pilihan mengambil kursus yang boleh tambah nilai kebolehpasaran. Tetapi pelajar tidak ambil, dia nak kira cepat habis sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dakwaan kursus IPT yang dikatakan tidak relevan adalah tidak berasas dan berat sebelah.
Katanya, setiap kursus di IPT sama ada awam atau swasta dinilai semula setiap lima tahun sama ada ia masih menepati standard piawaian ditetapkan MQA.
“Setiap lima tahun kita akan nilai kembali, kita nilai secara keseluruhan sama ada ia menepati standard dan ujian pasaran,” katanya. – UTUSAN










