Teliti isu perundangan sampingan Undi18 - Utusan Malaysia

Teliti isu perundangan sampingan Undi18

RAIS Yatim (tengah) menanam pokok dalam program gotong-royong bersama sukarelawan Yayasan Budi dan Orang Asli di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey, Selangor, semalam. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kerajaan perlu meneliti secara terperinci isu perundangan sampingan kela­yakan mengundi dalam pilihan raya umum pada usia 18 tahun.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu adalah isu utama yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, jawatankuasa yang melunaskan Undi18 dua tahun lalu berkemungkinan ter­tinggal sesuatu asas iaitu peraturan dan undang-undang sampingannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berasakan bahawa tiada prasarana menerusi undang-undang pilihan raya disediakan ketika ini. Isu mengenai keberkesan, faedah dan risikonya soal lain kerana itu adalah soal politik.

“Soal undang-undang yang perlu diutamakan terlebih dulu dan saya akan pandang berat perkara ini selagi peringkat di prasarana berkenaan belum diselesaikan,” katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong bersama sukarelawan Yayasan Budi dan Orang Asli di Perkampungan Budaya Mah Meri dekat Pulau Carey, semalam.

Beliau mengulas cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mengasingkan proses hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik.

Kelmarin Reezal Merican berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap melaksanakan usaha itu dengan segala formula dan ruang yang ada kerana semua anggota Kabinet menyokong Undi18.

Rais berkata, cadangan itu mungkin mudah, namun perlu mempunyai pendirian realiti mengenai undang-undang.

“Apabila usia 18 tahun menjadi pengundi automatik, Undang-Undang Pilihan Raya 1958 dan peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya perlu dipinda, namun ia tidak dipinda.

“Walaupun Perlembagaan sudah dipinda di bawah Perkara 48 misalnya, ia belum boleh dilaksanakan kerana salurannya tidak disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini