PUTRAJAYA: Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 hari ini akan membincang dan memperhalusi perkembangan pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad sebelum merangka rancangan baharu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia yang diadakan secara maya, dihoskan Bangladesh selaku pengerusi kali ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kerjasama ekonomi di bawah Kumpulan D-8 meliputi enam bidang keutamaan melibatkan perdagangan, kerjasama industri, perusahaan kecil dan sederhana, pertanian, pengangkutan, tenaga, mineral serta pelancongan.
Katanya, para pemimpin juga akan menerima pakai dua dokumen hasil iaitu Deklarasi Dhaka dan Pelan Hala Tuju D-8 2020-2030.
Jelas kenyataan itu, Deklarasi Dhaka akan memperkukuh komitmen negara anggota bagi menyempurnakan objektif dan kerjasama D-8 dalam merangka strategi masa hadapan manakala Pelan Hala Tuju D-8 bagi tempoh 2020-2030 akan menyediakan garis panduan bagi pemantauan dan penilaian ke atas pencapaian D-8 untuk 10 tahun.
Sidang Kemuncak itu, menurut kenyataan itu dijangka menjana idea dan inisiatif baharu bagi mencapai objektif dan aspirasi Kumpulan D-8.
“Tema Sidang Kemuncak pada tahun ini iaitu Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology adalah bertepatan dengan agenda D-8 untuk mengkaji semula insiaiatif sedia ada dan meneroka peluang baharu melalui pemerkasaan belia dan teknologi digital dalam menangani cabaran ekonomi global yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Para pemimpin dijangka membincang dan memperhalusi perkembangan serta pencapaian kerjasama ekonomi yang wujud sejak dua dekad lalu seterusnya merangka rancangan kerjasama ekonomi untuk dekad seterusnya,” kata kenyataan itu.
Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 disertai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam selain Sesi Mesyuarat Pesuruhjaya D-8 Ke-43 pula diadakan Isnin lalu.
“Penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak ini secara langsung menzahirkan komitmen dan sokongan berterusan Malaysia terhadap inisiatif-inisiatif di bawah rangka kerjasama D-8.
“Setiausaha Agung D-8 kini ialah Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, iaitu rakyat Malaysia pertama yang dilantik ke jawatan tersebut. Beliau telah dilantik pada 1 Januari 2018 untuk tempoh 4 tahun,” katanya. – UTUSAN










