KLANG: Penahanan empat individu yang terbabit dengan kes pukul pengawal peribadi membongkar kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek di Bukit Tinggi di sini.
Turut ditemukan adalah 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM28.25 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan empat individu termasuk seorang pengurus dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada pukul 10 malam hari yang sama.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia 35 hingga 47 tahun disyaki terlibat dalam memukul dua pengawal peribadi itu.
“Hasil siasatan mendapati majikan kepada kesemua suspek terlibat dalam aktiviti ah long dan judi. Majikan kepada dua pengawal peribadi yang dipukul ini ditahan oleh Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Penangkapan ini membawa kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek tersebut di Bukit Tinggi. Kita turut menemukan 12,500 keping not kertas AS$100.
“Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 10 butir peluru yang di bawah kawalan salah seorang mangsa dan merupakan kepunyaan milik sebuah syarikat kawalan keselamatan. Malah, dua rotan digunakan semasa kejadian turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, setakat ini, siasatan awal kejadian merotan itu adalah berpunca daripada perselisihan faham antara dua mangsa dengan majikannya atas alasan berpuasa kelmarin.
Jelasnya, kemungkinan mangsa terlewat masuk kerja kerana berbuka puasa, namun buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan, kepala dan lengan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Tiga daripada suspek yang ditahan, direman selama lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 298, Seksyen 307 Kanun Keseksaan,”ujarnya.
Ditanya kemungkinan melibatkan Geng Nicky, Arjunaidi berkata, siasatan dijalankan daripada semua sudut dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta pemberi pinjam wang (APPW) 1951.
“Tiada sebarang unsur perkauman atau agama sebaliknya lebih kepada peribadi dan terpencil serta tidak rancang pihak tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam memukul dua pengawal peribadi menggunakan rotan kerana berpuasa direman lima hingga tujuh hari.
Majistret Solehah Noratikah Ismail membenarkan kesemua individu terbabit direman bermula hari ini selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua mereka yang direman itu merupakan tiga pekerja kepada majikan terbabit dan pengawal peribadi masing-masing berusia 38 hingga 46 tahun. – UTUSAN










