KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) masih mengharapkan UMNO untuk kekal dalam gabungan tersebut dan tidak berpecah demi kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekalipun UMNO memutuskan tidak lagi bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) gabungan itu sentiasa terbuka untuk bersama termasuk semua parti politik.
“Agenda kita jelas dalam politik negara supaya kita boleh membentuk negara yang stabil dan membawa manfaat kepada rakyat. Kita amat mengkehendaki kesatuan yang ada dan kita mahu kekalkannya.
“Selain itu, kita memang dari dulu lagi menyatakan kesediaan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) tetapi fokus kita sekarang adalah memperkukuhkan PN,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di sini semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang mahukan Bersatu dijadikan ahli komponen dalam MN.
Abdul Hadi turut menekankan PN adalah gagasan berdaftar sekali gus membayangkan kerjasama semua kumpulan Melayu Islam harus diasaskan menerusi gabungan berkenaan.
Ditanya tentang tindakan UMNO memberi kata dua kepada Pas sama ada memilih UMNO atau Bersatu, menurutnya, Bersatu amat menghargai jalinan persahabatan yang ditunjukkan Pas.
“Nak kata Bersatu bagi kata dua ke apa, itu bukan sikap kita. Bagi kita, PN perlu diperkukuhkan malah dalam mesyuarat tadi juga disebut banyak lagi parti yang minta untuk menyertai PN dan ada undi yang perlu dilakukan.
“Keterbukaan mereka, kesungguhan mereka untuk bersama-sama dalam PN. Dalam PN tiada konsep ‘abang besar’, masing-masing semua parti anggap sama rata,” katanya.
Mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkenaan UMNO perlu bersedia mengorbankan sekurang-kurangnya 10 peratus kerusi mereka untuk diberikan kepada parti gabungan lain dalam Barisan Nasional (BN) termasuk PN, Wan Saiful berkata, perkara tersebut boleh dirunding secara bersama bagi mengelak pertembungan antara parti. – UTUSAN











