Pemborong, peniaga ayam langgar SHMMP dikompaun RM5,650 - Utusan Malaysia

Pemborong, peniaga ayam langgar SHMMP dikompaun RM5,650

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 38 kompaun dikeluarkan kepada pemborong dan peniaga ayam di seluruh negara membabitkan nilai keseluruhan RM5,650 kerana melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, dalam tempoh seminggu lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, tiga kompaun bernilai RM1,250 dikeluarkan kepada pemborong yang dikesan menjual barangan melebihi harga maksimum.

Katanya, 35 lagi kompaun dikeluarkan kepada peniaga ayam atas pelbagai kesalahan dengan 12 daripadanya menjual melebihi harga maksimum di samping 18 kompaun kerana tiada tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga merah jambu (lima kompaun).

“Harga maksimum yang ditetapkan kepada pemborong ialah RM7.10 sekilogram bagi ayam standard manakala peniaga pula RM7.90. Jika kedua-dua peringkat ini termasuk penternak menjual melebihi harga ditetapkan, segera laporkan kepada kita.

“Tindakan yang diambil bukan hanya terhadap peniaga di pasar, tetapi semua peringkat rantaian perniagaan termasuk penternak dan pemborong sekiranya tidak mematuhi SHMMP Hari Raya Puasa 2021 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Terengganu, di sini semalam.

Menurut Rosol, pihaknya menjalankan pemeriksaan di 225 premis pemborong dan 12,547 premis runcit dari 21 hingga 26 April lalu dengan lapan aduan mengenai harga ayam diterima setakat ini.

Katanya, langkah kerajaan menguatkuasakan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 lebih awal kerana kenaikan mendadak harga ayam dalam tempoh seminggu.

“Kita dapati tiga kali harga ayam naik dalam tempoh seminggu sehingga mencecah RM10 sekilogram. Kalau tiada SHMMP mungkin ayam kini sudah melebihi RM12 sekilogram,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.