Peguam menyamar wakil istana ditahan perdaya syarikat iklan - Utusan Malaysia

Peguam menyamar wakil istana ditahan perdaya syarikat iklan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor ditahan polis di Kampung Dato’ Jaafar, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang juga seorang peguam berusia 51 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 9.40 pagi. 

Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan polis dibuat pada 31 Mac 2011 berkaitan kes penipuan menyamar sebagai peguam diraja Johor dan memperdaya sebuah syarikat pengiklanan di Petaling Jaya, Selangor.

“Menerusi penyamaran itu menyebabkan wang berjumlah lebih RM185,000 telah dibayar kepada suspek bagi pembayaran caj pemasangan papan iklan di kawasan konsensi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan laluan Linkedua Malaysia-Singapura, (Linkedua),” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, kes tersebut dibuka semula untuk siasatan selepas mendapat fakta dan bukti baharu.

Menurut beliau, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok. 

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 17 kes lampau berkaitan pecah amanah jenayah, penggubahan wang haram dan kesalahan berkaitan akta syarikat. 

“Sebelum ini, polis menahan dua ahli perniagaan menyamar sebagai kerabat diraja Johor bagi melakukan penipuan dalam penawaran projek bersih tanah tidak wujud bernilai RM2.45 juta di Mukim Sekakap, Mersing dan telah pun dituduh di mahkamah pada 9 Januari lalu dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak pihak tertentu mengambil kesempatan dan mendakwa kononnya mempunyai hubungan rapat dengan pihak Istana Johor atau kerabat Diraja Johor untuk penyamaran dan penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang menyamar tanpa usul periksa bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan sebegini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN