MELAKA: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee menegaskan, insiden pertengkarannya dengan beberapa peniaga bazar Ramadan di Peringgit dekat sini adalah demi mempertahankan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, tindakannya menegur peniaga itu yang tular sejak petang kelmarin adalah dengan niat baik, semata-mata ingin memastikan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan membatalkan operasi bazar Ramadan yang akhirnya akan merugikan mereka.
“Saya bertengkar dengan peniaga kerana tidak mahu bazar Ramadan ditutup kerajaan negeri sekali gus menyebabkan mereka rugi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jelasnya, situasi tegang itu berlaku apabila segelintir peniaga yang berniaga di hujung bazar terbabit memintanya agar membenarkan diadakan dua jalan masuk dan dua jalan keluar, sekali gus melanggar SOP yang telah dipersetujui.
Beliau bagaimanapun tidak akur dengan kehendak itu kerana sedar jika dituruti, ia bakal mengundang masalah yang lebih besar.
“Saya mengunjungi bazar berkenaan kira-kira pukul 6 petang untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.
“Namun, segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung bazar berkenaan meminta kita menukar SOP,” katanya.
Tambahnya, meskipun begitu, sebahagian besar peniaga lain serta pengunjung dilihat amat memahami SOP dalam usaha bersama mencegah penularan Covid-19.
“Bazar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung.
“Perkara ini juga telah dibincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” jelasnya. – UTUSAN










