NAFAS minta semua pihak cari alternatif atasi masalah benih padi - Utusan Malaysia

NAFAS minta semua pihak cari alternatif atasi masalah benih padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memandang serius isu kelewatan bekalan benih padi yang mengundang keresahan dalam kalangan pesawah di semenanjung tanah air dan sedang berusaha keras menyelesaikan masalah tersebut.

Justeru, pertubuhan itu dalam satu kenyataan semalam meminta semua pihak agar sama-sama mencari alternatif terbaik dengan mengambil kira pelbagai langkah dan cadangan termasuk  menggunakan benih padi varieti lain seperti MR219 dan lain-lain sekiranya bekalan varieti MR297 habis di pasaran.

“Adalah menjadi hasrat Nafas untuk melihat perkara ini dapat ditangani secara berkesan dengan penglibatan semua pihak.

“NAFAS terbuka untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada semua pihak dalam mencari penyelesaian terbaik demi kelangsungan industri padi serta beras negara,” katanya.

Dua NGO iaitu Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) dan Badan Bertindak Petani MADA kelmarin menyatakan kekecewaan mereka terhadap terhadap kegagalan NAFAS yang hingga kini masih gagal membekalkan benih padi sah ke semenanjung tanah air.

Ini merupakan kali pertama NAFAS bertindak sebagai pengedar tunggal benih padi sah kepada pesawah dengan benih-benih tersebut dibekalkan oleh 10 syarikat pembekal dilantik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Kenyataan itu menyebut, bersandarkan rekod terkini, sebanyak 595,035 beg pesanan benih padi varieti MR297 telah diterima daripada pembekal setakat ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 321,689 telah dibekalkan NAFAS kepada pihak sepatutnya. Begitu pun atas kekangan stok benih padi yang terhad di pasaran, maka keperluan benih padi varieti MR297 mengambil sedikit masa untuk disediakan.

“Stok bagi bekalan benih padi adalah mencukupi bersandarkan kesemua varieti benih yang ditawarkan di pasaran. Nafas telah mengambil pelbagai langkah wajar dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik,” katanya.

Tambahnya, NAFAS juga dalam masa sama telah berbincang dengan semua syarikat pengeluar benih yang dilantik untuk memastikan benih dibekalkan terjamin kualitinya serta mendapat kelulusan Jabatan Pertanian.

“Para petani mempunyai hak untuk memulangkan semula benih padi yang diragui kualitinya dan menjadi tanggungjawab syarikat pengeluar untuk menggantikannya dengan benih baharu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya