PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengusulkan cadangan penambahan anggota penguat kuasanya di seluruh negara ke Kabinet bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam menjalankan tugasan harian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah 2,266 anggota yang ada setakat ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan lebih 32 juta pengguna di seluruh negara yang menuntut keberadaan pasukan penguat kuasa itu di lapangan pada setiap masa.
Justeru, kata beliau, pihak kementerian akan mengusulkan perkara berkenaan kepada Kabinet dalam masa terdekat demi memperkasakan Bahagian PenguatKuasa kementerian ini untuk berdepan pelbagai isu baharu terutamanya tentang kenaikan harga barang bagi melindungi kepentingan pengguna dalam situasi pandemik Covid-19.
“Isu menambah anggota penguat kuasa ini merupakan salah satu perkara yang dibincangkan di dalam hala tuju kementerian 2021-2025.
“Kita memang bercadang untuk mengusulkan perkara ini di Kabinet dalam usaha untuk memperkasakan bahagian penguat kuasa. Kajian terperinci sedang dijalankan dan sekiranya semua berjalan lancar, saya berharap perkara ini dapat dibawa ke Kabinet dalam masa enam bulan lagi,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kebimbangan rakyat yang terbeban sekali lagi dengan peningkatan harga runcit barangan di seluruh negara ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Bagaimanapun, kementerian berkenaan berdepan kekangan dalam memantau isu berkenaan berikutan kekurangan anggota penguat kuasa bagi memastikan mana-mana pihak tidak cuba mengaut keuntungan berlebihan sehingga menganiaya pengguna.
Alexander berkata, pertambahan itu bukan sahaja melibatkan keanggotaan fizikal, malah bahagian penguat kuasa juga perlu latihan tambahan upskilling dan menambah kemahiran serta ilmu baharu untuk berhadapan dengan isu-isu kepenggunaan yang semakin kompleks dan mencabar.
Sebagai contoh, katanya, perkembangan perniagaan dalam talian telah membuka ruang pelbagai kes penyelewengan yang kompleks, maka, anggota penguat kuasa perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran baharu bagi menangani isu tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota penguat kuasa tidak menjalankan tugas menyelia harga barangan secara langsung kerana tanggungjawab itu dilaksanakan Pegawai Pemantau Harga (PPH) yang dilantik secara kontrak di seluruh negara bagi melaksanakan Program Pemantauan Harga.
Pada ketika ini, katanya, seramai 1,015 PPH di seluruh negara melaksanakan tugas itu bagi memastikan barangan keperluan pengguna dijual dengan harga yang berpatutan dan membendung perlakuan mengaut untung berlebihan dalam kalangan peniaga.
“Perubahan harga barangan dapat dikesan melalui pemantauan harga barangan keperluan pengguna secara harian, mingguan dan bulanan di premis-premis terpilih yang meliputi pasar basah, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara.
“Bagi tujuan pemantauan harga, PPH melaksanakan kutipan data harga, memasukkan data harga tersebut ke dalam aplikasi MyHarga dan menyediakan laporan pemantauan harga kepada Sekretariat Majlis Harga Barangan Negara KPDNHEP,” katanya. – UTUSAN










