PETALING JAYA: Selepas memberi masa tiga hari untuk peniaga menghabiskan stok, bermula hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan notis saman terhadap mana-mana peniaga yang mengingkari Skim Harga Minimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah memberi peringatan dan tempoh tiga hari kepada peniaga menghabiskan stok yang ada selepas skim itu diumumkan pada 19 April lalu.
“Kita sedar mereka ini masih menerima stok lama, jadi kita pertimbangkan dan bagi tempoh tiga hari selepas (SHMMP 2021) diumumkan.
Berita berkaitan:
“Kita sudah bagi peringatan sehingga hari ini (semalam) sekiranya masih tidak mengikut senarai harga diumumkan bermula esok (hari ini), mereka yang degil akan terus disaman,” kata beliau ketika dihubungi semalam
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian besar peniaga di seluruh negara ingkar untuk mematuhi harga bahan mentah terutama ayam dan daging mengikut skim SHMMP 2021 yang berkuat kuasa kelmarin.
Tinjauan di pasar-pasar utama pada hari tersebut mendapati ayam standard masih dijual pada harga RM9 sekilogram berbanding harga siling RM7.90 sekilogram, manakala daging lembu tempatan RM40 sekilogram berbanding harga yang disyorkan RM34.
Rosol berkata, mulai hari ini peniaga perlu mengikut harga ditetapkan dan mereka tidak boleh lagi memberi alasan untuk tidak patuh kepada penguatkuasaan SHMMP 2021.
“Sudah tidak ada alasan, kalau tidak ikut juga, memang mereka ini degil teramat sangat,” kata Rasol.
Sementara itu, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Jeffrey Ng berkata, harga RM9 sekilogram ayam adalah munasabah kerana peniaga terpaksa menanggung pelbagai kos terutama gaji pekerja, sewa dan kos lain yang semakin meningkat.
“Walaupun tidak mematuhi SHMMP 2021 tetapi yang penting jangan jual ayam sampai mencecah RM12 sekilogram,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengikut skim tersebut, harga ayam standard adalah RM7.90 sekilogram manakala bagi ayam hidup RM6.80 sekilogram.
Katanya, harga ladang adalah RM5.80 sekilogram tetapi harga tersebut turut bergantung kepada kawasan penghantaran dan harga baharu ini ditetapkan selepas lebih 20 tahun.
“Dalam tempoh tersebut, banyak kos lain naik antaranya gaji minimum yang kini RM1,200; kadar elektrik dan kos makanan. Jadi pada saya apabila ada peniaga jual antara RM8 hingga RM9 tidak mengapa. Asalkan harga tidak terlalu tinggi iaitu RM12,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata, adalah tidak wajar sekiranya kerajaan mahu mengeluarkan permit import (AP) bagi mengawal harga ayam di negara ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut bakal membunuh industri penternakan di negara ini kerana pembeli akan memilih ayam import sebab harga murah walaupun kualiti tidak sama dengan ayam tempatan. – UTUSAN











