SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya kekal sebagai Ketua Dewan Ulama Pas manakala Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menerajui Ketua Pemuda Pas bagi sesi penggal 2023-2025.
Dalam pemilihan jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad menang tanpa bertanding selepas Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mendapat pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Dewan Ulama Pas namun menarik diri daripada bertanding.
Kemenangannya disusuli Timbalannya, Zulkifli Ismail dan Naib Ketua, Khairul Muntanazar Ismail masing-masing menang jawatan itu secara automatik selepas tidak menerima saingan daripada pencalonan lain bagi penggal 2023-2025 selepas menyandang jawatan sejak 2021.
Selain itu, Pengerusi Tetap, Dr. Hamdan Muhammad dan Timbalan Pengerusi Tetap, Mohd. Izwan Baidawi serta 12 ahli jawatankuasa menang tanpa bertanding antaranya adalah Dr. Aminurrasyid Yatiban, Ana Masturah Ismail, Nushi Mahfodz dan Ibrahim Tahir.
Pemilihan jawatankuasa Pemuda Pas pula menyaksikan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda baharu.
Beliau yang sebelum ini Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat menggantikan Ahmad Fadhli Shaari yang mengumumkan tidak bertanding pada sesi kali ini.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri pula dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda, manakala Muhammad Hanif Jamaluddin sebagai Naib Ketua Pemuda.
Dr. Riduan Mohd. Noor dan Nor Azariza Mohd. Alawi masing-masing dipilih menjadi Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Pas. – UTUSAN










