Kerajaan sekat periuk nasi artis? - Utusan Malaysia

Kerajaan sekat periuk nasi artis?

Afdlin Shauki Aksan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang sering menyekat punca rezeki artis propembangkang mengakibatkan golongan itu hidup dalam kebimbangan untuk menyuarakan pendapat dan keadaan sama didakwa masih berlarutan hingga kini.

Memburukkan keadaan, sikap berprasangka buruk yang melampau terhadap golongan seni mewujudkan persepsi seolah-olah golongan itu mempunyai pengaruh kuat untuk menghasut orang ramai menjatuhkan kerajaan.

Selebriti dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki Aksan mendakwa, keadaan yang berakar-umbi sejak sekian lama ini akhirnya mewujudkan budaya industri yang tidak sihat, apabila segelintir artis merasakan bahawa tiada ruang untuk rakyat dalam negara demokratik seperti Malaysia bersuara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Artis takut-takut menyatakan sokongan, sebab kerajaan hari ini akan sekat rezeki. Kalau kita di Indonesia, artis-artis di sana sangat lantang bersuara jika mereka rasa ada isu sosial yang tidak ditangani ahli politik.

“Mereka akan tulis lagu dan buat filem, pasal ini adalah salah satu cara kita bersuara. Cara kita bersuara melalui lagu, lebih berhemah daripada kita maki-hamun orang.

“Benda ini sudah berlaku sejak dahulu dan sekarang ini. Masih ramai lagi yang ketakutan. Kalau kita sokong, kita perlu sokong kerajaan yang memerintah, kita tak boleh sokong pembangkang. Pada saya tidak ada masalah pun, artis nak sokong pembangkang atau kerajaan, terpulang sebab itu adalah pilihan kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Memberi contoh, Afdlin mengutarakan kes membabitkan Datuk Zainal Abidin melalui lagu popularnya berjudul ‘Hijau’.

Katanya, sewaktu lagu itu diterbitkan pada tahun 1991, kerajaan menyekatnya atas dakwaan ia sinonim dengan parti pembangkang ketika itu iaitu Pas yang kebetulan menggunakan tema warna sama.

“Contohnya lagu ‘Hijau’, saya ingat lagi masa ia terbit, lagu itu tidak ada kena mengena langsung dengan politik. Jadi bila ia keluar pada 1991, ia kena sekat. Kenapa? Sebab ada bahasa Kelantan dalam lagu itu dan tajuknya pula ‘Hijau’, terus kementerian yang berkaitan sekat sebab mendakwa Zainal Abidin sokong Pas. Mereka tidak baca lirik lagu ini kah?

“Makna, takutnya orang politik kepada media ini, sampai sekarang masih berlarutan. Sebab itu bagi saya, kebanyakan cerdik pandai dalam industri hiburan ditekan.

“Alasannya agar kita jangan jadi terlalu radikal. Lagi satu, jangan jadi terlalu popular, popular biasa-biasa okay, sebaliknya jika terlalu popular, maka engkau adalah di bawah telunjuk kami,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa sangat peka terhadap nasib anak seni khususnya dari aspek perlindungan harta intelek (IP).

Afdlin berkata, sikap Anwar yang berjanji akan memelihara IP khususnya membabitkan anak seni, menjadi faktor mendorong beliau menyatakan sokongan secara terbuka kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Isu perlindungan IP adalah salah satu benda yang saya dan Anwar bualkan. Saya cakap, Datuk Seri, saya tak mahu apa yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlaku lagi.

“Dia setuju, dan dia cakap memang betul, kita mesti lindungi hak intelektual termasuk golongan seni di Malaysia ini. Dalam mengenali Anwar, itu yang membuatkan saya terpikat,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Ikuti wawancara penuh di muka surat 12 dan 13

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×