Keputusan rayuan Tengku Adnan ditetap tarikh lain

Keputusan rayuan Ku Nan ditetap tarikh lain

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini akan menetapkan tarikh lain untuk membuat keputusan terhadap rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Suraya Othman memaklumkan, panel hakim memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak.

“Setelah berbincang, kami memerlukan lebih masa untuk meneliti hujahan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan maklumkan tarikh sebenar keputusan kepada pihak-pihak tetapi ia akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

Selain Hakim Datuk Suraya Othman, turut sama bersidang Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadap Tengku Adnan, 70, selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah.

Ahli Parlimen Putrajaya itu kemudian memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman pada hari yang sama dia didapati bersalah.

Pada hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan untuk mendengar rayuan Tengku Adnan terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd. (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.