Kawalan harga barang diawalkan - Utusan Malaysia

Kawalan harga barang diawalkan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 akan dikuatkuasakan lebih awal dalam tempoh lebih panjang bermula 21 April hingga 20 Mei ini.

Tempoh penguatkuasaanya se­lama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari pe­rayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan berbanding pelaksanaan 15 hari sahaja sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, ia juga langkah mengawal kenaikan mendadak harga ayam yang berlaku ketika ini menerusi aduan daripada pengguna.

“Skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaannya, manakala kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

“Pelaksanaan skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia ada masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih-muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasaskan ayam, telur ayam dan hasil laut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan rakyat yang terbeban sekali lagi dengan peningkatan harga runcit barangan di seluruh negara ketika permulaan sambutan Ramadan.

Ia dipercayai berpunca daripada tindakan pengeluar dan ‘orang tengah’ yang cuba memanipulasi harga untuk mendapatkan keuntungan amat luar biasa sejak setahun lalu.

Beliau berkata, 12 jenis barangan tersebut melibatkan ayam hidup, ayam standard (disembelih dan di­bersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal) dan ayam super (disembelih dan di­bersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

“Seterusnya, daging lembu tempatan (harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja) serta daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

“Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram (g) hingga dan 69.9 g sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 g hingga 64.9 g sebiji) serta telur ayam gred C (berat antara 55.0 g hingga 59.9 g),” katanya.

Tambah beliau, untuk jenis ikan membabitkan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap sekilogram), ikan selayang (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap sekilo gram) dan ikan aya atau tongkol (berat antara satu ekor hingga dua ekor setiap kilogram).

“Ini baru peringkat awal dan ada lagi kira-kira 20 barangan lain yang belum disenaraikan serta akan diumumkan apabila dekat dengan perayaan nanti. Tujuan kita mengumumkan 12 barangan ini adalah yang berbentuk kritikal,” katanya.

Alexander berkata, peniaga yang sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan berlebihan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Katanya, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN