Industri perhotelan memerlukan insentif - Utusan Malaysia

Industri perhotelan memerlukan insentif

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sektor perhotelan di negara ini ternyata menerima impak yang amat buruk selepas penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu. Perkara ini diparahkan lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dari semasa ke semasa untuk membendung penularan wabak.

Keadaan yang sama berlaku kepada syarikat rangkaian hotel OYO yang berdepan penurunan pendapatan ketara sehingga 60 peratus berikutan ketiadaan pelanggan.

Walau bagaimanapun, syarikat tersebut optimis keadaan akan bertambah baik menerusi program vaksinasi yang sedang berlangsung. Ikuti soal jawab Utusan Malaysia menerusi e-mel bersama Naib Presiden dan Ketua Negara OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Utusan: Berapa jumlah rangkaian hotel dan kakitangan di seluruh negara?
Tan Ming Luk: OYO Malaysia telah berkembang sehingga terdapat 18,000 rangkaian hotel di 75 bandar dan pekan di seluruh negara. Ini termasuk bandar utama, sekunder dan tertier dengan hartanah yang terletak di sekitar pusat tarikan pelancongan utama.

Pada masa ini, kami mempunyai lebih daripada 100 OYOpreneur yang berkhidmat dengan rakan hotel kami di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor dan Kuala Lumpur.

Sejauh mana pandemik Covid-19 memberikan impak kepada perniagaan OYO?
Wabak ini telah memberi kesan kepada hampir semua pemain industri. Sebelum PKP dilaksanakan, kami telah berkembang dengan stabil namun kini pendapatan telah menunjukkan perununan sehingga 50 ke 60 peratus berikutan ketiadaan pelanggan. Bagaimanapun, kami masih optimis kerana ia lebih rendah berbanding penurunan pendapatan yang dicatatkan industri iaitu sehingga 75 peratus.

Apakah usaha-usaha yang diambil untuk meminimumkan impak pandemik?
Setiap orang memerlukan penginapan yang berpatutan yang mematuhi protokol kebersihan dan proses sanitasi yang ketat, di mana kakitangan dilatih dengan protokol keselamatan dan kesihatan ketika melayani tetamu. Dalam situasi pandemik ini, terdapat banyak kluster tempat kerja dan untuk membendungnya, pihak majikan perlu berbelanja untuk proses kuarantin pekerja dan OYO merupakan hotel dengan harga berpatutan yang sesuai untuk proses ini.

Kami bekerjasama dengan syarikat seperti Panasonic dan Cadbury untuk membuka hotel OYO sebagai pusat kuarantin diri untuk pekerja mereka. Ini adalah langkah proaktif oleh syarikat-syarikat ini bagi meminimumkan masalah operasi mereka di kawasan yang mencatat jumlah kes tinggi. Kami mengalu-alukan peluang untuk bekerja dengan mereka dan memastikan keselamatan pekerja mereka sambil memastikan operasi perniagaan mereka berjalan lancar.

Kami juga telah dipilih oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada pekerja di Masai dan Plentong.

Bagaimana keadaan syarikat hotel dalam rangkaian OYO dalam berdepan impak pandemik?
Disebabkan impak pandemik yang amat teruk, hampir satu pertiga daripada pemilik hotel dalam rangkaian kami ingin menghentikan perniagaan perhotelan dan mencari peluang perniagaan lain. Kami tetap menyokong mereka melalui latihan terhadap kakitangan mereka dalam protokol sanitasi, fleksibiliti harga dan memanfaatkan teknologi tanpa kebergantungan kepada tenaga kerja seperti daftar masuk tanpa sentuh.

Kami menjangkakan hampir 50 peratus hotel yang telah ditutup akan memulakan semula perniagaan mereka dalam tempoh tiga bulan akan datang apabila pasaran dibuka semula. Namun, kami masih dapat menambah sekurang-kurangnya 25 hingga 30 hotel sebulan ke dalam rangkaian kami.

Ada yang mengatakan industri telah beransur pulih sekarang. Komen tuan?
OYO mempunyai tiga kelebihan strategik yang menyelamatkan kami iaitu kekuatan hubungan dengan pelanggan, rakan kongsi dan tulang belakang teknologi untuk menjalin hubungan ini bersama-sama.

Fokus kami adalah untuk memberikan tetamu apa yang mereka perlukan dalam norma baharu termasuk banyak kelonggaran dalam membuat tempahan dan jaminan kebersihan hotel. Kami telah membuat pelaburan untuk memperbaiki platform teknologi kami supaya melancarkan proses carian dan tempahan hotel. Ini telah menarik lebih banyak pelanggan memilih rangkaian hotel kami.

Hotel OYO bukan sahaja menunjukkan prestasi antara 20 hingga 30 peratus lebih baik daripada hotel lain dalam kategori yang sama, tetapi juga lebih baik dalam industri secara keseluruhan. Kami menjangkakan perniagaan kami akan bertambah baik dalam 75 peratus berbanding tempoh pra-Covid menerusi gabungan pertumbuhan berterusan di pangkalan hotel kami dan pemulihan kadar pelanggan.

Sejauh mana inisiatif-inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dalam membantu industri?
Walaupun pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion dengan 40 inisiatif tambahan di bawah rancangan tindakan Penjana bernilai RM35 bilion untuk memulihkan ekonomi daripada kesan Covid-19, kami kecewa kerana sektor pelancongan khususnya industri perhotelan telah ketinggalan dalam pelaksanaan kedua-dua rancangan ini.

Lebih membimbangkan, Kemudahan Pembiayaan Pelancongan (PTF) dalam inisiatif Penjana tidak menawarkan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi oleh industri ini. Pemilik dan pengusaha hotel tidak memerlukan pinjaman atau terperangkap dalam hutang yang lebih banyak. Apa yang mereka perlukan adalah insentif yang akan membantu mereka mengatasi impak Covid-19 dan meredakan aliran tunai sehingga keadaan pulih dan mereka dapat kembali berdiri.

Ramalan Majlis Tindakan Ekonomi bahawa sektor pelancongan akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk pulih ke tahap pascapandemik mungkin agak terlambat, memandangkan keadaan industri semasa. Bagi pihak pemilik dan pengendali hotel, kami sangat prihatin terhadap rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri perhotelan demi kelangsungan hidup mereka.

Apa cadangan tuan dalam usaha memulihkan industri pelancongan dan perhotelan negara?
Kami mencadangkan kerajaan menyokong pemulihan industri pelancongan melalui gabungan sokongan monetari dan bukan monetari. Kami juga mengusulkan tiga usaha pemulihan iaitu yang pertama, kembalikan keyakinan dengan memperkenalkan label keselamatan dan kebersihan negara untuk meyakinkan pengunjung. Protokol Nasional seperti yang diperkenalkan di negara-negara seperti UAE ditadbir oleh badan kesihatan awam negara amat diperlukan untuk memastikan keseragaman dan konsistensi di seluruh sektor awam dan swasta.

Kedua, lakukan perubahan struktur dan fizikal destinasi pelancongan untuk memenuhi keperluan kesihatan dan harapan pengunjung dan ketiga, pelepasan kewangan. Pelepasan ini bukan bermaksud mereka tidak perlu membayar pinjaman namun cukup dengan bantuan pengurangan pembiayaan bagi memacu permintaan dan meringankan aliran tunai sehingga perniagaan pulih.

Perancangan OYO untuk 2021? Harapan, visi dan misi tuan?
OYO Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada keperluan pelanggan dalam norma baharu, sama ada lebih banyak fleksibiliti dalam membuat tempahan, jaminan kebersihan atau hotel di destinasi yang dalam jarak pemanduan. OYO juga komited untuk menyediakan akses tempat tinggal yang bersih dan berpatutan di seluruh Malaysia.

Kami di OYO Malaysia terbuka untuk berkolaborasi dengan sektor lain dalam memastikan pekerja hospitaliti dapat divaksinasi secara efektif tepat pada masanya. OYO akan tetap menjadi sumber penting dan memainkan peranan kami untuk memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia di masa akan datang. Saya yakin kita akan keluar daripada krisis Covid-19 lebih kuat daripada sebelumnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini