Harga barang terus naik, kontraktor bakal gulung tikar

Harga barang terus naik, kontraktor bakal gulung tikar

KONTRAKTOR kecil, sederhana atau besar berdepan risiko gulung tikar jika isu kenaikan harga barang asas binaan tidak ditangani segera. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 70,000 kontraktor kecil, sederhana atau besar berdepan risiko gulung tikar berikutan isu kenaikan harga barang asas binaan yang entah bila akan berakhir sehingga menyebabkan golongan itu terpaksa menanggung kerugian besar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Guild of Bumiputra Contractors Berhad (Wibawa), Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim berkata, isu kenaikan harga barang binaan bagaikan tiada kesudahan sehingga menyebabkan ramai kontraktor bumiputera khususnya terpaksa menanggung beban.

Malah, katanya, keupayaan sesetengah syarikat kontraktor dilihat semakin tidak menentu berikutan situasi tersebut.

“Apabila isu kenaikan harga bahan binaan sering dibangkitkan, ternyata ia bukan lagi persepsi semata-mata, tetapi kenyataan yang dialami sendiri oleh sebahagian besar pemain dalam sektor pembinaan ini.

“Baru-baru ini, Wibawa menerima beberapa aduan berkenaan isu terbabit (kenaikan harga barang binaan) dan apa yang menyedihkan sekiranya isu ini berpanjangan tanpa penyelesaian, mereka terpaksa menutup operasi syarikat dan menceburi bidang lain.

“Kenaikan harga bahan asas binaan seperti besi, simen dan pasir naik mendadak daripada 40 peratus hingga 80 peratus hingga menyebabkan kontraktor menanggung kerugian besar,” katanya.

Pada 6 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, isu kenaikan harga barangan asas pembinaan khususnya besi bukan perkara baharu, namun malangnya belum nampak tanda-tanda untuk pulih dengan difahamkan harga barangan itu melambung sehingga mencecah 100 peratus.

Difahamkan, harga besi dari RM18 sebatang naik sehingga RM32 sebatang yang dikatakan berterusan sehingga menyebabkan kumpulan sektor pembinaan rumah itu menanggung kerugian.

Dilema kontraktor tersebut mula dirasakan sejak awal tahun ini, selain mereka terpaksa berhadapan masalah kesukaran mendapatkan sesetengah jenis barangan binaan berikutan kekurangan stok di kedai-kedai.

Selain besi, harga barangan asas binaan lain seperti pasir didakwa meningkat dari RM60 kepada RM80 satu ela, paip dari RM30 kepada RM60 dan bagi sekampit, simen pula dari RM14 kepada RM18.

Menurut Md. Nasir, keadaan semakin membimbangkan apabila kontrak kerajaan melibatkan projek kemudahan rakyat seperti klinik dan hospital mengalami kelewatan seterusnya mengundang risiko terbengkalai berikutan isu kenaikan harga barang binaan.

“Terdapat rungutan daripada syarikat kontraktor yang mempunyai sijil lantikan menyiap yang menguruskan kerja-kerja projek terbengkalai ini. Mereka mendakwa, kenaikan harga bahan asas binaan menyebabkan projek tersebut bakal terbengkalai sekali lagi, sekali gus syarikat kontraktor disenarai hitamkan dalam program itu,” katanya.

Dalam memastikan tiada sebarang pakatan atau kartel memanipulasikan harga barang binaan, Wibawa menggesa kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) mewujudkan semula Variation of Price (VOP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya