Ganja Gorilla semakin berleluasa - Utusan Malaysia

Ganja Gorilla semakin berleluasa

RAMLI ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penagih dadah kini didapati semakin cenderung beralih kepada ketagihan ganja Gorilla, sejenis dadah yang telah diolah dengan campuran bahan kimia seakan methampethamine bertujuan untuk menguatkan kesannya.

Campuran bahan sintetik tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan khayal dan halusinasi yang kuat kepada penagih tetapi juga menjadikan penggemarnya lebih bertenaga tanpa menyedari kesan ketagihannya itu boleh menyebabkan masalah gangguan mental.

Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) telah mula menerima individu yang terlibat dengan kes penagihan ganja sintetik dalam kalangan penagih yang membawa kepada masalah mental.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Presidennya, Ramli Abdul Samad berkata, ganja tersebut atau nama popularnya Gorilla dicampur dengan bahan kimia lain seakan dadah methampethamine untuk menguatkan kesan penggunaannya.

“Ganja Gorilla tersebut dicampur dengan bahan sintetik yang mana kesannya bukan sahaja mengkhayalkan pengguna tetapi juga menyebabkan wujud gambaran dan bayangan kepada pengguna itu. Mereka yang mengambil bahan itu juga akan rasa lebih bertenaga.

“Dalam beberapa tahun ini, kami mula menerima kes-kes yang berpunca daripada Gorilla dan kami meneliti penagih akan mengalami halusinasi sekali gus mengalami masalah mental.” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Ramli, kewujudan Gorilla menunjukkan dadah pada masa kini telah diolah supaya memberi kesan yang lebih kuat kepada mereka yang mengambil bahan itu.

Jelasnya, daripada 60 orang penghuni di Pengasih, sekurang-kurangnya lima kes melibatkan dadah jenis Gorilla.

Beliau turut bersetuju dengan laporan Utusan Malaysia bahawa ketagihan dadah dilihat tidak akan selesai sebaliknya terus kritikal apabila setiap keluarga di negara ini dikhuatiri bakal mempunyai seorang yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah menjelang 2029.

Kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Teknologi Malaysia mendapati, dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara akan merekodkan seramai 2.5 juta penagih dengan purata penggunaan 319,400 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM16 bilion.

Menurut Ramli, kumpulan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah itu termasuk golongan pekerja perubatan, juruterbang dan pelajar.

Masalah itu, katanya, bukan berpunca daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah sahaja seperti yang sering disebutkan.

Menurut Ramli, dengan masalah ekonomi yang melanda negara berikutan pandemik Covid-19, beliau gusar jika institusi kekeluargaan akan goyah dan menyebabkan lebih ramai mencari dadah untuk ‘lari’ daripada berdepan dengan masalah.

“Sudah tentu, krisis ekonomi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau perniagaan yang merudum ketika ini beri kesan emosi kepada mana-mana individu.

“Ibu bapa yang terganggu berkemungkinan akan terjebak dengan gejala dadah dan anak-anak yang menjadi mangsa kemarahan ibu bapa akan keluar rumah, dan mereka juga mungkin akan terlibat dengan gejala dadah atau mana-mana aktiviti yang tidak sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini