Dijel 10 bulan kerana ugut, khianat - Utusan Malaysia

Dijel 10 bulan kerana ugut, khianat

MAZATUL Amira Mohamad Ali (tengah) dibawa polis ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan pemerasan dan perbuatan khianat di sebuah kedai kosmetik, di Tangkak, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Seorang wanita dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas gagal membayar denda atas kesalahan melakukan pemerasan dan perbuatan khianat di sebuah kedai kosmetik, Sabtu lalu.

Tertuduh Mazatul Amira Mohamad Ali, 31, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham bagi kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga penganggur didapati bersalah kerana melakukan pemerasan bagi tujuan menakutkan Suhada Abd. Hamid, 28, dan Maznah Md. Rehat, 49, dengan kata-kata menakutkan jika wang tidak diserahkan kepadanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mazatul Amira didapati melakukan khianat ke atas harta kedai milik Roslinah Bahar, 47, yang menyebabkan kerugian bernilai RM2,661.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Rawyna Collection, LC 180, Jalan Payamas, Tangkak, pada pukul 4.20 petang, 24 April lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh disabitkan bersalah di bawah Seksyen 385 dan dijatuhi hukuman penjara 14 hari serta denda RM2,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar.

Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 427, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM7,000 atau penjara 10 bulan jika gagal bayar.

Bagaimanapun, Mazatul Amira mengaku tidak mampu membayar denda sebelum mahkamah memutuskan hukuman penjara serentak selama 10 bulan.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pada Sabtu lalu, polis menahan seorang wanita selepas menerima laporan kejadian amuk di sebuah premis sehingga menyebabkan kerosakan harta kedai.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian itu suspek memeras ugut dua pekerja kedai kosmetik yang juga kenalannya bagi mendapatkan wang berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan menyerahkan wang diminta sebelum tertuduh bertindak agresif melakukan kerosakan dengan memecahkan barangan kosmetik di kedai berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya