Boleh balik kampung sambut puasa, raya? - Utusan Malaysia

Boleh balik kampung sambut puasa, raya?

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harapan tinggi rakyat untuk pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini seperti ada peluang cerah.

Memberitahu Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan pergerakan rentas negeri sebelum 14 April ini.

Menurut beliau, ia bergantung kepada status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan sehingga 14 April ini selain status negeri-negeri lain yang akan diputuskan sebelum tarikh berkenaan.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian risiko sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keperluan merentas negeri dibenarkan boleh diputuskan sebelum 14 April ini, kita akan maklumkan kepada masyarakat sama ada dibolehkan atau tidak bergantung kepada kes-kes positif yang direkodkan.

“Pada masa ini, ada negeri-negeri berstatus PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP). Kita juga akan melihat kehendak negeri masing-masing. Seperti Sarawak, kerajaan negeri itu masih lagi menyekat pergerakan rentas negeri dan daerah kerana masih ada penularan jangkitan di sana,” katanya di sini semalam.

Umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan pada 13 April ini manakala Aidilfitri pada 12 Mei ini. Ia menjadi harapan tinggi rakyat untuk menyambut perayaan itu pada tahun ini di kampung halaman masing-masing memandangkan pergerakan ‘disekat’ pada tahun lalu ekoran pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Adham berkata, kerajaan pada masa sama membuat penilaian teliti walaupun ketika ini tidak ada kluster baharu diwujudkan ekoran pergerakan rentas negeri.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kes-kes positif baharu tetap muncul daripada pergerakan itu.

Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Kesihatan menetapkan enam indikator untuk membolehkan kementerian itu menasihati atau mencadangkan sesuatu perkara kepada Jawatankuasa Teknikal.

Enam indikator itu ialah situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang; trend dan kadar kebolehjangkitan; situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian serta keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

Selain itu ialah situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

“Kita cuba sedaya upaya melandaikan keluk jangkitan secara lebih teratur dan sistematik mengikut data dan sains. Apabila semua indikator itu dipatuhi dan menunjukkan kes terkawal, maka keputusan rentas negeri boleh dibuka.

“Vaksinasi juga salah satu cara perlindungan dan pengawalan. Saranan Perdana Menteri untuk memberikan insentif rentas negeri, kita bersetuju dan pastikan dapat dilaksanakan selain melihat tidak ada peluang mencetuskan gelombang baharu melalui aktiviti rentas negeri,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN