‘Bila kena MT, Presiden... lepas’ - Utusan Malaysia

‘Bila kena MT, Presiden… lepas’

Suhaili Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Suhaili Abdul Rahman mempersoalkan mengapa terdapat pemimpin UMNO masih memegang jawatan dalam parti itu walaupun berdepan kes mahkamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, UMNO sepatutnya mengguna pakai Perlembagaan Fasal 10.10 ke atas mereka seperti dikuatkuasakan ke atas dirinya pada 2009 sehingga digugurkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Labuan.

Katanya, fasa itu memperuntukkan mana-mana pe­mimpin yang memegang jawatan dalam parti dan didakwa di mahkamah, jawatannya itu harus digugurkan serta-merta dan dikembalikan setelah kes mereka selesai.

“Apakah peraturan itu hanya kepada rakyat marhaen macam saya? Kepada ahli Majlis Tertinggi (MT), Setiausaha dan Presiden bagaimana? Sedangkan saya punya kes tidak libatkan rasuah, salah guna kuasa, merompak. Saya digugurkan dan dipecat. Kenapa zaman itu terpakai tetapi sekarang tidak terpakai?

“Ini maknanya UMNO double standard sebab peraturan itu sepatutnya digunakan kepada semua. Peraturan ini telah digunakan pada 2009. Adil atau tidak kepada ahli lain?,” katanya semalam.

Pada April 2009, jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan yang disandang Suhaili gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta merta berikutan pendakwaan terhadapnya di mahkamah.

Ia selaras dengan peraturan dalam UMNO yang mana pemimpin parti itu di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik digantung semua jawatannya dalam parti.

Suhaili yang kini Ketua Penaja Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan berkata, beliau adalah ahli UMNO yang pertama dan terakhir dikuatkuasakan peraturan itu sedangkan banyak lagi pimpinan dalam parti itu terpalit dengan kes mahkamah.

“Dulu saya langsung tak diberi ruang untuk membuat penjelasan, jawatan pun tak dikembalikan kepada saya walaupun kes dah selesai. Dua belas tahun kes ini sudah berlalu, tapi hari ini biar semua orang tahu tentang ketidakadilan perjuangan UMNO sebenarnya,” ujarnya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 2009 mungkin dibangkitkan dalam mesyua­rat MT Ahad ini bagi meminta pemimpin yang berdepan kes mahkamah untuk ‘berehat’ dari­pada terus memegang jawatan.

Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman berkata, soal penggantungan jawatan itu diputuskan melalui satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan

Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti.

Dalam hal itu, katanya, MT UMNO mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan mana-mana pemimpin parti berkenaan boleh digantung atau perlu ‘dicutikan’ sehingga kes pendakwaan mereka di mahkamah selesai.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, peraturan itu dilihat tidak lagi digunakan ketika ini biarpun ada dalam kalangan pemimpin tertinggi parti masih terus memegang jawatan walaupun berdepan kes mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN