Belum muktamad kerjasama MN terkubur - Utusan Malaysia

Belum muktamad kerjasama MN terkubur

DR. NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muafakat Nasional (MN) belum lagi terkubur meskipun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan partinya akan me­ninggalkan kerjasama itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sehingga kini tiada kata putus berkenaan hala tuju MN meskipun pelbagai pihak memberikan pelbagai andaian sehingga me­ngatakan kerjasama terjalin itu bakal menemukan titik noktah.

Katanya, Pas berpegang teguh kepada prinsip agama Islam untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak.. tidak (terputus kerjasama MN). Sehingga kini kami Pas berpegang kepada prinsip agama iaitu bersatu padu de­ngan semua pihak iaitu UMNO dan Bersatu.

“Agama Islam mengajak kita bersama-sama dan berpadu, jadi tidak timbul isu MN telah terkubur,” katanya.

Abdul Hadi semalam memberi bayangan akan meninggalkan MN kerana mendakwa ia sudah menyeleweng daripada matlamat asas sebaliknya meminta semua menyertai PN.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, Pas juga menolak politik yang menghabiskan masa de­ngan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat pada musim bencana alam dan wabak yang masih menular.

Ketika ditanya sama ada Pas akan memilih MN atau PN, Nik Muhammad Zawawi berkata, tidak timbul soal untuk memi­lih mana-mana pihak seballik­nya parti itu mahu bekerjasama dengan semua.

“Seperti saya sebut tadi, Pas pegang kepada asas agama dan bukannya agenda tertentu iaitu kita mahu perpaduan dengan semua pihak iaitu dengan MN dan PN.

“Jadi tidak perlu timbul pilih sama siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pene­rangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kenyataan Abdul Hadi bukan bermaksud untuk menolak MN sebaliknya merujuk kepada muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal gagasan politik itu.

Jelas beliau, ketegasan Abdul Hadi itu sama dengan pendirian parti selama ini iaitu memperkukuhkan MN bersama UMNO di samping mempertahankan PN.

“Bukan makna kita tolak atau mahu keluar MN, pendirian kita masih jelas memperkukuh MN dan mempertahankan PN. Ia termasuk agenda yang berada di sebalik tertubuhnya MN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini