Addy Kana, dua anggota polis bebas daripada tahanan POCA

Addy Kana, dua anggota polis bebas daripada tahanan POCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini memerintahkan ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah dan dua anggota polis yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, dibebaskan serta-merta.

Perkara itu ditentukan selepas panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan habeas corpus dan membebaskan mereka daripada tahanan salah.

Zaidi atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk’ Addy Kana, Koperal Muhamad Amin Nur Rashid Mohamed Puad dan Koperal Mohd. Hairy Mohammad ditahan selama dua tahun bermula 25 November tahun lalu selepas dikaitkan dengan sindiket perjudian dalam talian haram.

Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November tahun lalu yang mengekalkan tempoh tahanan di bawah POCA selama 38 hari kerana dipercayai terlibat dengan kes judi dalam talian.

Addy Kana ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala dua anggota polis itu masing-masing ditahan di Penjara Bentong, Pahang dan Penjara Simpang Renggam, Johor.

Hakim Tengku Maimun Tuan Mat bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Hakim Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan itu berpuas hati bahawa tangkapan serta penahanan reman terhadap ketiga-tiganya di bawah POCA, tidak sah di sisi undang-undang.

Ketika membacakan penghakiman bertulisnya, Ketua Hakim Negara berpendapat, Seksyen 4(1) dan Seksyen 4(2) POCA 1959 yang disandarkan bagi menahan ketiga-tiganya adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada hemat beliau, oleh kerana penahanan reman pertama yang merupakan penahanan awal dilakukan berdasarkan kepada undang-undang yang tidak berperlembagaan, maka responden tiada asas untuk mengenakan tahanan lanjut terhadap ketiga-tiganya.

Tahanan reman awal dikenakan selama 21 hari bermula 14 Oktober tahun lalu manakala tempoh tahanan reman kedua selama 38 hari diperintahkan bermula 30 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Hakim Vernon berpendapat, tiada bukti yang menunjukkan majistret mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika mengeluarkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 4(1) POCA.

Keputusan rayuan habeas corpus yang disampaikan melalui aplikasi zoom turut dihadiri oleh peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Gobind Singh Deo mewakili perayu-perayu.

Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili responden-responden iaitu Asisten Superitenden Khairul Fairoz Rodzuan, Majistret Mahkamah, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Pada asalnya, panel itu dianggotai oleh Hakim Vernon, Hakim Zaleha dan Hakim Hasnah menolak rayuan mereka dengan keputusan majoriti 3-2.

Hakim Tengku Maimun dan Hakim Rhodzariah yang mencapai keputusan minoriti, membenarkan rayuan tersebut.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim berkenaan kemudian bersetuju dengan keputusan minoriti selepas Sri Ram membangkitkan isu berhubung kesahihan perintah yang dikeluarkan oleh majistret.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.