Warga Myanmar Bukit Malut ibarat bom jangka - Utusan Malaysia

Warga Myanmar Bukit Malut ibarat bom jangka

PENEMPATAN warganegara Myanmar di Bukit Malut, Pulau Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Warga Myanmar di Bukit Malut, Langkawi yang semakin membentuk komuniti besar di pulau legenda tersebut ibarat sebutir bom jangka yang dikhuatiri boleh menggugat keselamatan penduduk tempatan memandangkan mereka sudah selesa berada di negara ini.

Mereka yang mendakwa memiliki kerakyatan negara ini juga berasa sudah cukup ‘besar’ dan kebal daripada tindakan pihak berkuasa.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, pakar geostrategis, Azmi Hassan berkata, kerjasama semua pihak sangat penting dalam menangani isu penempatan warga Myanmar di pulau peranginan tersebut.

“Isu ini adalah bom masa kerana penempatan pelarian yang ramai dalam satu kawasan itu, ini yang dikatakan sebagai herd mentality atau mentaliti kawanan. Mereka akan menjadi berani apabila berada di satu-satu kawasan dan kawasan itu mereka kawal yang terdiri daripada kumpulan yang sama.

“Ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati pada penduduk-penduduk tempatan. Ini sebabnya kita amat memerlukan kekuatan politik iaitu kerjasama semua pihak termasuk pihak kerajaan, pihak pembangkang dan rakyat negara kita sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan isu Bukit Malut yang telah menjadi penempatan haram warga Myanmar sejak awal 80-an.

Warga Myanmar yang dianggarkan seramai 10,000 orang itu menguasai sebahagian kawasan di Pulau Langkawi tersebut dengan mendirikan kira-kira 2,500 buah rumah sehinggakan ia dikenali sebagai ‘Little Myanmar’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut Azmi, isu Bukit Malut perlu ditangani dengan cekap dan berhati-hati serta mengelak ia terus lenyap dan tidak diselesaikan.

“Sekali lagi saya ingin katakan kekuatan politik amat diperlukan untuk menyelesaikan isu ini supaya ianya tidak menjadi menjadi sinonim. Maksudnya, rakyat tidak mahu melihat penempatan haram ini menjadi sinonim kehidupan kita.

“Sudah tentu kita tak nak menjadi lali dengan perkara ini dan biarkan perkara ini berlalu dan berlangsung. Ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara dan seharusnya ditangani daripada pihak atas,” katanya.

Beberapa penduduk di Bukit Malut mendakwa kebanyakan warga Myanmar yang tinggal di kawasan itu telah mendapat kerakyatan Malaysia dan memilikin kad pengenalan atau MyKad.

Peguam dan aktivis, Sharedzan Johan berkata, sekiranya warga Myanmar di Bukit Malut terbukti adalah warga Malaysia yang sah, maka mereka tidak boleh dikeluarkan atau ‘dihantar pulang’ ke Myanmar.

“Kerajaan Malaysia hanya boleh bawa keluar penduduk di situ sekiranya mereka adalah Pendatang Tanpa Izin (PATI). Jika mereka mempunyai dokumen kemasukkan yang sah, walaupun mereka warga Myanmar, mereka tidak boleh dikeluarkan daripada kawasan itu melainkan kemasukkan mereka dibatalkan atau luput.

“Saya lihat mereka sebagai suatu komuniti terbiar. Mungkin tiba masa pihak kerajaan memandang serius isu mereka. Jika benar mereka warganegara, bantu mereka untuk dapatkan dokumen yang perlu. Jika mereka warga asing, kebajikan mereka masih jadi tanggungjawab kita sebagai manusia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN