PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) perlu mengutamakan golongan warga emas untuk senarai kuota musim haji akan datang susulan lambakan senarai bakal tetamu Allah jemaah ekoran keputusan Kerajaan Malaysia tidak menghantar jemaah ke Tanah Suci sebelum ini atas faktor pandemik Covid-19.
Hal ini kerana Malaysia kini berhadapan lambakan senarai bakal jemaah haji berjumlah 31,600 bagi musim haji lalu dan jumlah itu bakal bertambah jika penangguhan itu sekali lagi tahun ini dan sekali gus ia mencecah 63,200 orang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, Tabung Haji dijangka membuat senarai keutamaan bakal jemaah termasuk mengambil kira kumpulan warga emas untuk mengatasi masalah lambakan tetamu Allah untuk musim haji akan datang.
“Malaysia kini berhadapan lambakan bakal jemaah haji untuk senarai tahun lalu dan mungkin juga musim kali ini. Namun ia perlu diatasi dengan mengutamakan golongan yang berhak menunaikan haji.
“Namun saya yakin dengan kebijaksaan Tabung Haji untuk mengatasi masalah ini dan mereka kemungkinan perlu melihat terhadap golongan yang perlu diutamakan termasuklah warga emas,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Arab Saudi bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia selepas menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan di Istana Al-Yamamah, Riyadh, kelmarin.
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sehingga hari ini (semalam) Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kebenaran pelaksanaan Haji dalam tempoh pandemik Covid-19.
Beliau menjelaskan, ini termasuk jumlah sebenar jemaah Haji yang dibenarkan berangkat ke Tanah Suci dengan persetujuan 10,000 kuota tambahan kepada Malaysia.
“Kerajaan Saudi belum keluarkan apa-apa makluman rasmi untuk kebenaran Haji tahun ini. Semuanya akan ditentukan selepas Arab Saudi keluarkan kenyataan rasmi,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, kerajaan pada dasarnya telah membincangkan membenarkan bakal haji Malaysia tahun ini mula diberi suntikan vaksin Covid-19 pada pertengahan Mei.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan dalam Kabinet dan kemungkinan besar jemaah boleh menunaikan haji tahun ini.
“Saya difahamkan kuota tahun ini lebih daripada biasa iaitu selalunya 30,000 jemaah maka kita mohon lebih sehingga 50,000 jemaah kerana tertangguhnya haji tahun lalu.
“Setiap mereka yang divaksin memerlukan 21 hari untuk dilindungi sepenuhnya selepas dos kedua maka melihat tarikh haji, jemaah perlu divaksinkan pertengahan Mei,” katanya semalam. – UTUSAN










