JOHOR BAHRU: Udara Pasir Gudang beracun. Begitulah kesimpulan Badan Bertindak Akademi Sains Malaysia (ASM) yang menemui punca pencemaran daerah itu rupanya akibat partikel kimia berbahaya yang dikeluarkan menerusi cerobong-cerobong asap kilang.
Penemuan tersebut sekali gus, menolak anggapan hampir semua pihak bahawa peristiwa yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk Pasir Gudang yang dilanda rasa loya, pening kepala, muntah dan ada yang pengsan pada 7 Mac 2019 disebabkan pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
Dalam kejadian tersebut juga, sebanyak 111 sekolah di daerah tersebut ditutup kerana gejala tidak selesa itu juga menjejaskan murid dan pelajar sekolah.
Mengikut laporan ASM yang diteliti Utusan Malaysia, sumber gas toksik daripada pembuangan sisa bahan kimia secara haram tidak betul kerana ketumpatan gas dari aras tanah tidak mempunyai keapungan dan momentum yang cukup untuk melanda sampai ke tingkat atas bangunan sekolah yang menempatkan murid atau pelajar berada ketika itu.
Dedah ASM, penemuan bukti baharu itu jelas menunjukkan mengapa murid dan pelajar yang berada di tingkat atas bangunan sekolah terlebih dahulu mengalami simptom seperti mual, sakit kepala dan sesak nafas berikutan pencemaran itu mungkin bermula di kawasan yang lebih tinggi berbanding pencemaran berpunca dari sungai.
Semasa insiden penduduk Pasir Gudang dilanda pencemaran serius sekitar Jun 2019, Sungai Kim Kim ketika itu lebih bersih berbanding insiden kali pertama ‘meletus’ pada 7 Mac 2019.
ASM melaporkan terdapat empat gas toksik dikenal pasti iaitu akrolein, akrilonitril, metil merkaptan dan benzena yang membawa kepada gejala tidak sihat dialami pelajar sekolah ketika itu seperti muntah, mual, pening, sesak nafas, batuk, sakit tekak dan kejang otot yang konsisten dengan kesan menyedut gas-gas tersebut.
“Kejadian Sungai Kim Kim melaporkan kehadiran gas akrilonitril, akrolein dan benzena. Sebaliknya gas yang dilaporkan dalam kejadian kedua (insiden Pasir Gudang) adalah akrilonitril, akrolein dan metil merkaptan.
“Bahan-bahan kimia ini kemungkinan besar digunakan oleh kilang cat, pemprosesan plastik dan racun perosak. Tiga gas toksik yang dikesan dalam kedua-dua insiden tersebut adalah lebih tumpat daripada udara,” menurut laporan itu.
Dalam kejadian pertama itu, ribuan penduduk Pasir Gudang terutama pelajar dan murid sekolah dilanda masalah rasa tidak sihat sehingga memaksa pihak berkuasa menutup sementara 111 sekolah di daerah tersebut.
Kawasan perumahan yang teruk terjejas ialah di Taman Kota Masai, Taman Pasir Putih, Taman Tanjung Puteri Resort, Taman Cendana, Taman Air Biru dan Taman Mawar manakala sekolah pula membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan SMK Tanjung Puteri.
Bagaimanapun, ASM memaklumkan, buat masa ini gas akrolein, akrilonitiril dan metil merkaptan tidak diklasifikasikan sebagai bahan pencemar di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“Justeru, gas-gas ini bukan ‘pencemar’ dari segi undang-undang tetapi pelepasan kumulatifnya mungkin melebihi kapasiti muatan pada alam sekitar meskipun pembebasan gas secara individu tidak mencemarkan udara dan memenuhi syarat yang boleh diterima,” katanya.
Sementara itu, Badan Bertindak ASM menjelaskan, pihaknya yang turut melawat SK Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Putih pada 28 Ogos 2019 mendapati, kesemua dapatan kajian di sekolah itu menyokong kronologi peristiwa, gejala dan kes-kes utama di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah seperti dilaporkan.
“Semasa sesi perbincangan dengan pengetua dan pembantu kanan sekolah-sekolah yang terjejas oleh insiden yang mulanya disyaki daripada pencemaran Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang, badan itu dimaklumkan kebanyakan pelajar sekolah yang terjejas berada di bilik darjah di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah.
“Ini tidak konsisten dengan anggapan sumber itu adalah penyejatan menguap dari Sungai Kim Kim kerana momentum plum itu terlalu rendah dan juga keapungan sangat negatif untuk sampai ke aras sekolah yang lebih tinggi tetapi sebaliknya hanya akan lebih tertumpu berhampiran tanah,” katanya.
Malah sekolah-sekolah tersebut juga terletak di kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari Sungai Kim Kim. – UTUSAN










