JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM30 juta kepada Yayasan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hari ini.
Baginda menyampaikan sumbangan dana berkenaan kepada puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, di sini.
Sultan Ibrahim bertitah, kurniaan kepada Yayasan Kelab Bolasepak JDT adalah bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
“Yayasan Kelab Bolasepak JDT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Ibrahim atas keprihatinan Tuanku mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM30 juta.
“Kurniaan tersebut adalah bagi membantu meringankan bebanan rakyat yang memerlukan dan untuk pembangunan bola sepak negeri Johor,” menurut kenyataan di Facebook rasmi hari ini.
Yayasan berkenaan dilancarkan pada 13 Oktober 2015 bertujuan mengumpul dana dan mengagihkan bantuan kepada rakyat di negeri ini dalam bentuk kebajikan, kesihatan, pendidikan, sukan serta sosial.
Penubuhan Yayasan Kelab Bolasepak JDT juga adalah selari dengan misi dan visi Tunku Mahkota Johor yang mahukan JDT bukan sekadar sebuah kelab bola sepak.
Ia secara tidak langsung membolehkan penyokong terlibat dalam kemajuan dan pembangunan kelab serta memartabatkan bolasepak Johor secara amnya melalui pelbagai aktiviti dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan.
Pada Januari lalu, Yayasan JDT menyalurkan bantuan berupa 1,000 kampit beras dan keperluan harian kepada mangsa banjir di Kluang dan Kota Tinggi yang terjejas.
Malah, yayasan itu turut menggerakkan hampir 300 sukarelawan bagi bersama-sama membantu kerja pembersihan pasca banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah ditutup serta beberapa buah kediaman mangsa banjir di daerah Kota Tinggi. – UTUSAN ONLINE









