Seramai 150 PATI warga Indonesia diusir dari Sabah - Utusan Malaysia

Seramai 150 PATI warga Indonesia diusir dari Sabah

Konsul Pejabat Konsulat Republik Indonesia, Tawau Heni Hamidah bersama Pegawai Imigresen memantau proses penghantaran pulang PATI Indonesia di Pelabuhan Tawau, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seramai 150 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari Sabah menerusi program penghantaran pulang PATI Siri 2/2021, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Tawau sejak 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau, Sabah ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia Tawau.

Katanya, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 dan proses pengasingan PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan.

Ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 terhadap setiap PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan, seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua hukuman telah dijalani mengikut proses perundangan negara sebelum mereka diusir keluar dari Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Muhamad Sade berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

Kata beliau, pihaknya terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing.

Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh jabatan tersebut di negeri Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen di seluruh Sabah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN