PUTRAJAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak pernah menyorok data terkini atau rekod sahih berhubung kes wabak Covid-19 daripada pengetahuan rakyat.
Menteri Kanan (Ekonomi dan Kewangan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa yang diumumkan menerusi sidang akhbar dan kenyataan media setiap hari adalah tepat dan rasmi.
“Kerajaan kita telus sebab sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, perkongsian data amat penting, malah setiap keputusan dibuat berdasarkan data jitu dan kajian saintifik,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Turut serta ialah tiga menteri kanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Fadillah Yusof (Kluster Infrastruktur) dan Datuk Dr. Radzi Jidin (Kluster Pendidikan).
Mengulas lanjut, beliau juga membidas tanggapan sesetengah pihak konon cuba menetapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menamatkannya secara sesuka hati.
“Setiap keputusan dibentangkan Kementerian Kesihatan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat tiga hari sebelum PKP tamat sama ada diteruskan atau berakhir.
“Saya pun kena ikut arahan MKN dan seperti disebut Perdana Menteri sendiri, kerajaan kita telus dan setiap keputusan dibuat adalah terbaik demi rakyat akhirnya,” kata Mohamed Azmin.
Perkara itu turut diakui Ismail Sabri yang menegaskan, semua keputusan MKN tertakluk hasil perbincangan dengan pelbagai pihak selepas setiap kementerian membentangkan cadangan.
Ini termasuk prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan pembinaan yang mengambil kira antara isu kesihatan dan kelangsungan hidup.
“Misalnya, sektor pelancongan dengan hotel memang tidak pernah pun ditutup dan untuk bantu premis ini hidup, restoran di situ dibenar asalkan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Ismail juga memaklumkan kelonggaran pergerakan rentas negeri juga tertakluk penilaian risiko Kementerian Kesihatan susulan pengalaman banyak puluhan kluster wujud sebelum ini.
Namun, beliau yakin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan minggu lalu, isu itu mungkin dapat berakhir tetapi ia bergantung keputusan kementerian tersebut.
Dalam pada itu, Fadillah turut memaklumkan kerajaan bersetuju memperuntukkan RM7 juta bagi bantu majikan syarikat kecil yang ada pekerja asing untuk mereka menerima vaksinasi.
“Ramai didapati tidak mampu dan kita berharap usaha ini dapat kekang penularan selain akan percepat projek pembangunan prasarana awam disiapkan di seluruh negara,” tambah beliau.