Selangor laksana bayaran parkir digital sepenuhnya tahun depan - Utusan Malaysia

Selangor laksana bayaran parkir digital sepenuhnya tahun depan

NG Sze Han (kiri) berbual dengan Haris Kasim (tengah) dalam majlis Hala Tuju Pengurusan Tempat Letak Kenderaan di PBTSelangor di MBSA, hari ini. - UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Selangor akan melaksanakan pembayaran parkir secara digital sepenuhnya menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) mulai 1 Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, serentak dengan itu, penggunaan kupon parkir atau pembayaran secara manual berakhir pada 31 Disember tahun ini.

“Pada masa ini, pengguna aplikasi SSP yang berdaftar melebihi 1.5 juta orang. Dengan menggunakan sistem ini kita dapat menjimatkan sejumlah 634,994 kilogram kertas.

“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dengan bayaran parkir ini kecuali Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Hulu Selangor kerana dua daerah ini tidak mengenakan bayaran parkir di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, sistem ejen e-parkir disediakan sebagai alternatif bagi orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi SSP,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Hala Tuju Pengurusan Tempat Letak Kenderaan PBT Selangor di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Yang hadir sama, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan kaedah petak parkir atau ‘hot zone’ di kawasan tumpuan awam dengan meletakkan had masa maksimum bagi setiap tempahan.

Jelasnya, petak parkir ‘hot zone’ tidak boleh melebihi tempoh dua jam dan kaedah itu adalah bagi memberi kemudahan kepada pengguna lain mendapatkan petak parkir di kawasan yang sibuk dan padat.

“Bagi petak parkir ‘hot zone’ ini, kadar bayaran adalah sama dengan petak biasa, cuma dengan had masa yang berbeza.

“Sebagai contoh, petak parkir biasa dikenakan caj 50 sen sejam namun petak parkir ‘hot zone’ dikenakan 50 sen bagi setiap 30 minit. Jika mereka melebihi waktu had maksimum, tindakan kompaun akan dikenakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN