Pertembungan tiga penjuru, undi kaum Cina jadi penentu? - Utusan Malaysia

Pertembungan tiga penjuru, undi kaum Cina jadi penentu?

DR. RUSDI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Undi kaum Cina dijangka menjadi penentu jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, pertembungan tiga penjuru itu sekali lagi akan menyebabkan undi Melayu berpecah.

Katanya, keadaan itu seolah-olah tidak berbeza dengan PRU-14 yang memberi kelebihan besar kepada PH meskipun UMNO, Pas dan Bersatu mempunyai peluang besar untuk menang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen jika bersatu dalam PRU-15.

“Undi kaum Cina sekali lagi akan menjadi penentu jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PH. Jadi adakah BN bersedia untuk bergerak sendirian apabila melihat kepada situasi ini,” soalnya.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 kelmarin sebulat suara memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Keputusan tersebut dicapai selepas mendapat kata putus seluruh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu merupakan tambahan daripada usul yang dikemukakan iaitu tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Sementara itu Rusdi berkata, pendirian UMNO yang menoktahkan kerjasama dengan Bersatu dan PN turut memberi tamparan kepada Pas yang berada dalam dilema untuk memilih salah satu daripada dua parti itu sebelum memasuki gelanggang PRU-15.

Katanya, jika Pas memilih UMNO dengan mengambil kira kekuatan jentera dua parti tersebut, mereka mempunyai kelebihan besar menang termasuk di beberapa negeri.

Namun katanya, melihat kepada situasi semasa, Pas juga dilihat mustahil akan meninggalkan PN kerana parti itu juga merupakan komponen dalam gabungan itu.

“Secara tidak langsung keputusan Perhimpunan Agung UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu juga memberi tamparan hebat kepada Pas yang sebelum ini masih berusaha memulihkan hubungan kedua-dua parti tersebut.

“Pas tidak ada pilihan perlu memilih salah satu sama ada bersama UMNO atau PN. Atau pun tidak mustahil pendirian kerjasama itu boleh berubah kerana politik apa-apa pun boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN