Pelajar SMAP Labu cipta mesin lupus minyak masak

Pelajar SMAP Labu cipta mesin lupus minyak masak

NUR 'Aisyaa Syafiqah Shuhaimi bersama guru pembimbing, Mohd. Nurhafiz Aman Shah menunjukkan reka bentuk mesin prototaip UCOnverter ketika ditemui Utusan Malaysia di Bandar Baru Enstek, Nilai, Seremban, semalam. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekumpulan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu dekat sini menghasilkan sebuah mesin prototaip yang dikenali UCOnverter untuk dipertandingkan dalam pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) 2020/2021.

Kumpulan yang disertai Hani Nabila Muhd. Hilal, Nurul Wafa Hasan Wardi dan Noor Diyana Yousifiya Masri itu dikenali sebagai Phoenix dan merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh dan sekolah di negeri ini yang terpilih di antara 16 sekolah daripada 283 penyertaan dalam pertandingan berkenaan.

Wakil kumpulan berkenaan, Nur ‘Aisyaa Syafiqah Shuhaimi berkata, dia dan ahli kumpulannya memilih tajuk berkaitan pengurangan sisa minyak masak dengan menghasilkan sebuah mesin yang boleh menukar minyak masak menjadi sabun cecair dan boleh digunakan semula.

“Kami melihat kebanyakan isi rumah membuang minyak masak terpakai sekali gus mencemarkan alam sekitar. Isu pembuangan minyak masak ke dalam sinki secara berleluasa boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat.

“Oleh itu, kami mencipta sebuah mesin prototaip UCOnverter selepas mengadakan temu bual dengan beberapa orang penduduk di Jentayu, Bandar Enstek dekat sini. Mereka memaklumkan pusat kitar semula minyak sedia ada agak jauh dan mesin ini sekali gus dapat memudahkan pemprosesan guna semula minyak masak berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bandar Baru Enstek dekat sini semalam.

Pertandingan TEY dianjurkan sejak 2001 dan popular dalam kalangan pelajar sekolah dalam usaha mencungkil kreativiti pelajar menjaga kepentingan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian pada masa depan.

Bagi pertandingan kali ini, ia bermula sejak Disember 2020 hingga Mei depan dan dijalankan secara dalam talian berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, menurut Nur ‘Aisyaa Syafiqah lagi, pemilihan isu mengenai pengurusan minyak masak adalah kerana mereka mahu melihat masyarakat terutama penduduk di kawasan perumahan lebih peka tentang isu berkenaan.

“Mesin prototaip ini juga boleh membantu mereka menjana pendapatan dan menjimatkan pembelian sabun membasuh pinggan mangkuk,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, sebanyak RM800 diperuntukkan bagi menghasilkan mesin protaip berkenaan sambil dibimbing oleh guru, Mohd. Nurhafiz Aman Shah.

“Hanya menggunakan potassium hidrosida, air dan minyak masak terpakai, mesin ini melakukan proses campuran dan proses pemanasan kesemua bahan berkenaan yang kemudiannya menukar minyak masak terpakai kepada sabun cecair dengan mudah dan cepat dalam kadar masa 40 hingga 60 minit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.