PDRM sebaris negara luar - Utusan Malaysia

PDRM sebaris negara luar

Muhyiddin Yassin tiba pada sambutan Hari Peringatan Polis di Pulapol, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. – GAMBAR IHSAN JPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama strategik yang terjalin di peringkat antarabangsa mampu meletakkan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaris dengan pasukan kese­lamatan negara luar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan anggota serta pegawai polis dalam latihan, kursus atau persidangan di dalam negara serta di peringkat antarabangsa perlu dipertingkatkan bagi memperoleh pendedahan dan perkongsian lebih global.

Katanya, usaha itu bagi menghadapi cabaran serta ancaman moden di samping melengkapkan pasukan PDRM de­ngan aset, peralatan dan senjata canggih serta terkini.

“Sehubungan itu, PDRM juga harus memperkasakan ke­upayaan anggota dalam me­nguasai perundangan negara.

“Saya percaya ini mampu meletakkan PDRM sebaris de­ngan pasukan keselamatan dari England, Scotland dan Hong Kong,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, langkah penstrukturan semula Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) di bawah PDRM mampu menyekat pencerobohan masuk warga asing ke dalam negara dengan efisien sekali gus membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

Ujar beliau, ini juga dapat memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara terutamanya ketika penularan pandemik Covid-19.

Muhyiddin turut mengi­ngatkan warga PDRM mempunyai sifat sense of belonging dan rasa tanggungjawab tinggi ter­hadap amanah digalas bagi meningkatkan prestasi pasukan.

Ujar beliau, penerapan nilai disiplin dan integriti perlu dititikberatkan dalam pembinaan sahsiah anggota PDRM serta penguatkuasaan undang-undang yang kukuh dan utuh.

“Saya yakin dan percaya keupayaan pasukan PDRM dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara akan dapat terus dipertingkatkan,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN