Parti Melayu perlu bersihkan parti daripada pemimpin terpalit rasuah - Rais

Parti Melayu perlu bersihkan parti daripada pemimpin terpalit rasuah – Rais

RAIS Yatim (dua dari kanan) selepas merasmikan pejabat PKMMNS di Taman Dato' Shahbandar, Ampangan, Seremban hari ini. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesemua parti-parti Melayu di negara ini perlu membersihkan parti mereka daripada pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah.

Pemimpin veteran politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpandangan, perkara tersebut perlu untuk parti-parti politik Melayu dihormati dan bangkit dan terus memegang tampuk kuasa dalam negara.

“Sekarang ini bila orang Melayu yang pegang kuasa nampak macam gambaran pegang kuasa, pegang rasuah, siapa yang naik akan ambil duit rakyat, bila kita nak maju?

“Harus ditegaskan, undang-undang antirasuah mesti kita hormati, bersihkan semua pemimpin yang korupsi, (kemudian) naiklah semula, tidak kiralah UMNO, Bersatu dan Pas asalkan Melayu.

“Bersekutu kita, penghulu-penghulu yang main cedok ini, tak perlu pakai lagi, waima siapapun , saya hormat kepada ‘beliau-beliau’ tetapi apabila telah mengambil hak rakyat, berbilion ringgit, kita tidak boleh lagi berpura-pura,” katanya.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan (PKMMNS) di Taman Dato’ Shahbandar, Ampangan, dekat sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini bukan masanya untuk orang Melayu berpecah belah sebaliknya perlu bersatu bagi menjamin kuasa politik orang Melayu.

“Saya fikir dalam keadaan orang Melayu hari ini mereka perlu jangan lupa prinsip bahawa sistem majoriti dalam politik harus dimanfaatkan supaya kuasa dalam tangan. Tidak ada masanya sekarang untuk orang Melayu berpecah belah.

“Saya menyeru supaya orang Melayu mempunyai konsep dan fahaman ‘siapa kita’ dan bagaimana harus jamin kemajoritian kita itu diterjemah kepada kuasa politik. Orang lain tak boleh marah jadi kita mesti cari, malangnya hari ini, lebih diutamakan siapa nak jadi Perdana Menteri dan hanya tertumpu kepada diri dan tidak kepada masyarakat kita,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Rais, sebagai salah seorang individu yang lama dalam sistem politik negara, beliau berharap individu yang mempunyai status ‘lama’ itu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa yang lain boleh menggunakan kebijaksanaan untuk menyatukan orang Melayu dalam politik.

“Kena satu hati dalam masa hadapan orang Melayu. Saya tidak keberatan untuk orang-orang lama berbincang (soal) bangsa kita, itu cara baik juga. Usaha itu harus kita hormati, kalau dijalankan, ada beberapa idea kalau diterjemahkan boleh disampaikan kepada mereka bakal jadi Perdana Menteri, Menteri dan sebagainya,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN