MENELUSURI zaman ‘setiap perilaku adalah satu kesalahan’ sememangnya menguji kemampuan mental seseorang. Sama ada baik atau buruk, ada sahaja mulut yang akan mengata. Itu cabaran dunia seni kini.
Di usia yang masih muda, kematangan akal adalah perisai. Tidak mahu terperangkap dengan serangan pejuang papan kekunci, dua penyanyi wanita ini menajamkan minda. Mereka sedia dengan benteng sendiri.
Namun adakala jiwa gadis mereka rapuh, dihempas badai kritikan yang tidak membina. Hampir sahaja rebah namun selagi mampu bertahan, jiwa dan raga dikerah keringat. Tidak akan berpaling daripada impian seni.
Bagi Sarah Suhairi, dia mahu menyempurnakan cita-cita bergelar penyanyi hebat. Mahu dijulang dan dihargai atas bakat serta kemampuan. Maka, dia tidak mahu langkah seninya terhenti dek rapuhnya jiwa.
“Saya terima kritikan dan komen positif. Saya belajar daripada kesilapan. Teguran itu mematangkan. Tetapi jika menjatuhkan, itu bukan lagi satu kritikan. Itu hanyalah cubaan merebahkan.
“Saya cukup berhati-hati dalam perkongsian di media sosial. Tidak mahu ada yang memanipulasi dan menggunakan itu sebagai senjata menjatuhkan saya. Saya juga masih muda, banyak lagi yang harus ditempuh,” katanya.
Begitu juga Sheryl Shazwanie, strategi disusun supaya tidak tersalah langkah. Walaupun sifatnya air, namun semangatnya membara bak api. Dia tidak mahu mengalah. Benteng jiwa diperkukuh, agar tidak terhiris luka.
“Saya seorang yang bergerak mengikut arus. Ya, saya mungkin dilihat seperti wanita lemah lembut. Tetapi tidak semangat. Saya pernah melalui episod hitam yang cukup mendewasakan jiwa sendiri.
“Mungkin sehingga kini, luka itu masih berdarah namun saya tetap terus melangkah. Bukan mudah untuk saya memadam rasa sedih, cuma apa yang penting adalah sokongan setiap manusia yang berada di sekeliling,” katanya.










